105 perenang cilik berentap di Miri hari ini

0

MIRI: Seramai 105 atlet renang kanak-kanak akan bersaing dalam Kejohanan Renang Junior Kelab Rekreasi Petroleum (KRP) kali kedua di kolam renang KRP pada hari ini (Sabtu).

Pengerusi penganjur, Unyat Dollah memberitahu daripada jumlah tersebut, 88 atlet merupakan ahli Persatuan Amatur Renang Miri (MASA).

“Manakala 20 perenang yang lain adalah dari KRP, sementara yang selebihnya adalah pasukan perenang dari Kelab Gymkhana Miri (KGM) dan Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang,” jelasnya kepada Utusan Borneo, petang kelmarin.

Menurutnya antara objektif kejohanan adalah untuk melatih para perenang agar lebih bersedia menyertai kejohanan yang mendatang.

“Kita menerima penyertaan yang memberangsangkan berbanding sebelum ini dan kita berharap ia akan terus meningkat mendapat sambutan pada masa hadapan.

“Walaupun kejohanan ini bukan untuk pemilihan, kita berharap dengan usaha ini ia dapat membantu mempromosikan sukan renang, sekali gus melahirkan ramai perenang yang berbakat,” katanya yang juga pengurus KRP.

Kejohanan disertai perenang bawah 12 tahun dan dibahagikan kepada lima kumpulan umur lelaki dan perempuan.

Kumpulan pertama disertai oleh kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun, kumpulan kedua (10 tahun), kumpulan ketiga (9 tahun), kumpulan keempat (8 tahun) dan kumpulan kelima (7 tahun ke bawah).