Dr Chan kekal dengan keputusan

0

Beliau berkata SUPP perlu imej dan muka baru untuk memimpin parti itu

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan walaupun ramai mahu beliau kekal menerajui parti itu.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baru untuk memimpin parti itu.

“Walaupun terdapat sekumpulan orang mahu saya kekal (sebagai presiden), saya percaya SUPP memerlukan imej baru dan muka baru.

“Kita mempunyai lebih dari 120,000 ahli, jangan beritahu saya kita tidak mempunyai pemimpin muda untuk mengambil alih,” katanya ketika ditemui di lobi komplek Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Dr Chan yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri berkata, sesiapa yang akan mengambil alih kepimpinan SUPP hujung tahun ini hendaklah seseorang yang muda dan lebih berkebolehan.

Menurutnya, ia adalah bagi memastikan parti itu lebih berkembang maju.

Sebagai contoh katanya, untuk mengambil alih jawatannya sebagai presiden, seseorang itu nanti hendaklah jauh lebih berkebolehan daripada beliau sendiri.

“Sekiranya seseorang yang mengambil alih daripada anda tidak berapa baik, bagaimana kita hendak berkembang?

“Saya mahu mereka lebih baik kerana saya percaya ada orang lebih baik daripada saya,” katanya.

Bulan lepas, Dr Chan dan Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui mengemukakan surat letak jawatan tetapi dihalang oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan mereka bersetuju untuk meneruskan khidmat mereka sehingga penggal ini tamat pada penghujung tahun.

Dalam perkembangan lain, Dr Chan enggan memberitahu siapa atau jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) SUPP dari kaum Bumiputera yang akan dilantik sebagai menteri muda.

Bagaimanapun, katanya seorang ADUN Bidayuh sudah dicadangkan untuk menjadi menteri muda.

“Keputusan akhir terpulang kepada Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) “ katanya.