Jangan bersikap negatif berhubung projek empangan Baram: Sagan

0

MIRI: Penduduk di Baram perlu mengikis sikap negatif berhubung rancangan kerajaan untuk membina empangan hidroelektrik di kawasan mereka kerana ia boleh merangsang le-bih banyak pembangunan di  kawasan luar bandar.

Anggota Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan semalam berkata secara automatik projek itu dapat menjana kegiatan ekonomi dan memperbaiki standard infrastruktur di kawasan itu dalam tempoh jangka panjang.

“Walaupun dalam pandangan singkat, kita mungkin kehilangan sesuatu (dalam soal hartanah) tetapi saya memberi jaminan bahawa kerajaan mahu satu keadaan yang memanfaatkan semua pihak bagi penduduk Baram,” katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat dua setahun sekali Persatuan Kenyah Kebangsaan Sarawak (PKKS) di sini, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan

Antarabangsa dan Industri berkata, rancangan kerajaan negeri untuk membina empangan merupakan satu cara bagi mempercepatkan pembangunan Baram.

Keputusan membina empangan hidroelektrik Baram yang dijangak menjana kira-kira 1,000 megawat bekalan elektrik telah ditegaskan lagi oleh Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada pilihan raya negeri baru-baru ini, katanya.

“Apabila Ketua Menteri menyebut mengenai projek Baram, beliau telah memberi jaminan bahawa penduduk Baram akan mendapat manfaat daripadanya,” kata Sagan.

Walaupun pembangkang cuba memanipulasi isu empangan Baram, mereka tidak akan dapat menghalang kerajaan seperti yang telah dibuktikan dengan kejayaan melaksanakan projek-projek yang sama di Batang Ai di Sri Aman dan Bakun di Belaga, katanya.

Beliau berkata, penduduk di Baram boleh belajar daripada pengalaman penduduk di kedua-dua kawasan itu berhubung manfaat pelaksanaan projek bagi mengubah tahap kehidupan mereka.

Sagan, yang juga penaung PKKS, meminta persatuan itu supaya membantu membentuk pemikiran masyarakat Kenyah sebagai satu daripada kumpulan minoriti di negara ini supaya berpandangan jauh dan mampu merancang masa depan generasi muda mereka. — Bernama