Balak: Serangan dapat dihalang jika wakil rakyat ambil berat rungutan penduduk

6

KUCHING: Serangan ke atas kem pembalakan oleh penduduk di Tebedu pada Ahad lepas akan dapat dihalang jika wakil rakyat di situ mengambil berat rungutan mereka sebelum ini.

Kedua-dua wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dato Sri Michael Manyin bagaimanapun nampaknya bagaikan tidak mengendahkan apa yang berlaku di kem pembalakan terbabit.

Namun, tidak jelas sama ada mereka ada bertemu penduduk untuk menasihati mereka daripada bertindak di luar jangkaan terhadap aktiviti pembalakan yang didakwa memusnahkan tanah pusaka mereka.

Manyin yang merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan apabila dihubungi semalam hanya berkata: “Saya akan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada polis dan pejabat daerah.”

Sementara, Riot yang juga Timbalan Menteri Luar ketika dihubungi berkata:  “Saya berada di Kuala Lumpur, maka tiada komen setakat ini.”

Manyin dan Riot diminta untuk mengulas mengenai demonstrasi penduduk dari 10 kampung yang membakar jentera berat termasuk lori dan kem pembalakan bagi memprotes aktiviti pembalakan di situ.

Difahamkan, itu bukan tindakan yang pertama dilakukan oleh penduduk sejak mereka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap aktiviti pembalakan terbabit.

Dua minggu lepas mereka merobohkan jambatan balak bagi menghalang kemasukan lori balak ke situ.

Pada Ahad lepas dengan jumlah lebih 500 orang mereka telah membakar tujuh jentera berat, empat lori dan lima kem pembalakan.

Ketua Cawangan Khas IPD Serian ASP Awangku Ahmaddin Awang Wang yang turut dihubungi semalam memberitahu laporan polis telah dibuat oleh syarikat pembalakan terbabit.