Doktor, jururawat mati lemas

8

Percutian berakhir tragedi bagi empat sekawan ketika mandi di air terjun Kpg Giam

SEDIH: Rakan-rakan yang tiba di tempat kejadian meratapi mayat mangsa.

PADAWAN: Percutian empat sekawan berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas ketika sedang mandi di air terjun Kampung Giam pagi semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohd Razali Dollah, 27 seorang doktor dan Norfazila Abdul Kadir, 23, seorang jururawat yang masing-masing bekerja di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

Mohd Razali dari Semariang merupakan seorang doktor yang baru selesai menjalani latihan bercuti bersama Norfazila dari Kampung Baru, Samarahan sedang bercuti bersama dua lagi rakan mereka.

Menurut sumber, mereka tiba di air terjun yang terletak kira-kira 35 kilometer dari sini, sekitar jam 10.30 pagi.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada jam 11.30 pagi apabila Norfazila dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Menyedari kejadian tersebut, seorang daripada rakan mangsa cuba menyelamat mangsa namun gagal dan naik semula ke darat.

Tindakan rakan mangsa itu telah menyebabkan Razali bertindak cuba menyelamatkan mangsa namun tindakannya itu telah menyebabkan dia sendiri lemas.

Namun, Razali dipercayai menghadapi kesukaran berikutan arus yang kuat dan badannya ditarik Norfazila yang berada dalam keadaan ketakutan sehingga kedua-duanya lemas dan hilang di tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk Kampung Giam, Kulen Lises, 39, dia yang sedang bekerja di sebuah bengkel berdekatan terkejut apabila mendengar jeritan daripada kedua-dua rakan mangsa.

Kulen berkata dia segera bergegas ke sungai tersebut bersama seorang lagi rakannya iaitu Velindo Bidak, 20.

“Selepas mendengar mereka (rakan mangsa) menjerit, kami segera ke sungai tersebut dan kami diberitahu oleh mereka bahawa dua rakan mereka telah lemas.

“Tanpa membuang mangsa saya dan rakan (Velindo) terus terjun ke sungai itu.

“Kami mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mencari serta membawa kedua-dua mangsa keluar dari sungai tersebut,” katanya sambil menambah pihak bomba dan penyelamat turut membantu sejurus tiba di tempat kejadian.

Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Air terjun Kampung Giam merupakan salah satu tarikan ekopelancongan yang popular di sini. Setiap tahun ramai pengunjung akan berkelah di situ berikutan suasana yang tenang, selesa dan cantik.

Namun penduduk kampung di sini mendakwa air terjun itu berarus deras.