218 kes curi motosikal di Bintulu sejak Januari lepas

0

BINTULU: Sebanyak 218 kes kecurian motosikal dilaporkan berlaku di bahagian ini dari bulan Januari hingga Mei tahun ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Madang Usat berkata, daripada jumlah itu, pihaknya telah berjaya menjumpai semula 25 buah motosikal yang dicuri dengan sebuah motosikal turut dijumpai di daerah Miri dalam Ops Lejang.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya memberkas 34 suspek yang dipercayai mencuri motosikal dan kereta dengan kebanyakan kes berlaku di kawasan Bintulu.

“Daripada 11 kes berkaitan kecurian motosikal dan kereta, lima suspek telah didakwa di mahkamah dan dua lagi ditahan reman untuk siasatan lanjut,” jelasnya pada sidang media semalam.

Katanya, pada April lalu, pihaknya turut melancarkan Konsep Payung sebagai salah satu langkah pencegahan jenayah.

“Konsep itu menumpukan kepada pertukaran tempat berkawal bagi setiap tempat untuk anggota polis,” katanya sambil menjelaskan, setakat ini kes-kes jenayah di sini agak berkurangan hasil konsep terbabit.