Bincang dulu jika ingin naikkan harga barangan

1

Rujuk kementerian dulu untuk elak bebankan pengguna

SIBU: Mana-mana pihak yang ingin menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram Selasa lepas, perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengarah KPDNKK Negeri Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, ini bagi memastikan kenaikan itu tidak membebankan orang ramai, terutama pengguna.

Beliau turut memuji usaha Persatuan Pengusaha Kedai Kopi dan Restoran Bahagian Sibu yang memutuskan untuk tidak me-naikkan harga minuman berikutan kenaikan harga gula itu.

“Namun jika mereka (persatuan) mahu naikkan harga minuman, mereka perlu berbincang terlebih dahulu dengan kementerian. Kita tidak dapat menahan mereka menaikkan harga kerana kenaikan ini bukan berpunca daripada gula sahaja.

“Ini mungkin berpunca daripada kadar sewa yang naik, gaji pekerja serta kenaikan harga barang-barang lain seperti minyak, susu dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Wan Uzir lagi, harga minuman di Sibu masih antara yang terendah berbanding dengan bandar-bandar lain seperti Kuching, Miri dan Bintulu.

Di Sibu, katanya, hanya harga minuman Milo dan Nescafe mengalami kenaikan harga sebanyak 10 sen, berikutan kenaikan produk barangan Nestle.

“Namun kenaikan ini berlaku sebelum kenaikan harga gula Selasa lepas,” katanya sambil memberitahu Bintulu mencatatkan harga minuman tertinggi.

Menyentuh mengenai be-kalan barangan menjelang musim perayaan Gawai Dayak hujung bulan ini, Wan Uzir memberitahu bekalan termasuk telur ayam adalah mencukupi.

Katanya, beliau telah berjumpa dengan persatuan pemborong sebelum pilihan raya negeri April lepas bagi mendapatkan kepastian berhubung bekalan barangan, terutama barangan kawalan untuk musim perayaan Gawai Dayak.

“Mana-mana pemborong atau peniaga yang didapati menyorok bekalan dengan harapan untuk menaikkan harga barangan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan,” tegas beliau.