Tuesday, January 21

Kumpulan ‘A-One Club’ mahu Jabu jadi KM seterusnya

0

KUCHING: Sekumpulan individu yang menamakan diri mereka sebagai ‘A-One Club’ semalam menyatakan sokongan supaya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu menjadi Ketua Menteri Sarawak yang seterusnya.

Jurucakap kumpulan tersebut Dr Elli Luhat memberitahu mereka berpendapat bahawa Jabu merupakan calon yang paling sesuai untuk menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sekiranya beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Pada masa yang sama Elli menafikan bahawa kumpulan tersebut mendapat sebarang imbuhan daripada pihak tertentu di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk berbuat demikian.

Beliau juga turut menafikan kenyataan mereka adalah bertujuan untuk melaga-lagakan Jabu dan Taib.

“Selepas membuat pertimbangan, kami telah menyimpulkan bahawa tiada lagi individu yang sesuai selain daripada Jabu untuk menggantikan Taib sebagai KM.

Jabu sekarang merupakan orang yang kedua berkuasa sebagai Timbalan Ketua Menteri sejak lebih 30 tahun dan beliau juga merupakan  timbalan presiden PBB yang merupakan parti memerintah.

“Oleh itu, beliau mempunyai pengalaman yang luas dan layak. Pertimbangan ini dibuat tanpa prejudis terhadap bangsa, agama atau parti politik,” kata Elli kepada pemberita semalam.

Bercakap mengenai ‘A-One Club’, beliau berkata bahawa ia merupakan sebuah kumpulan tidak formal yang terdiri daripada profesional, kakitangan kerajaan dan individu-individu yang lain yang selalu berkumpul di sebuah kedai kopi yang dipanggil A-One di Taman BDC, dekat sini.

Malah pertemuan kumpulan tersebut dengan pemberita semalam juga turut diadakan di kedai kopi tersebut.

“Ini merupakan tempat pertemuan untuk membincangkan berkenaan ekonomi, politik serta isu-isu penting yang lain. Kira-kira 20 orang ahli Kelab A-One bertanding di dalam piihan raya yang lepas,” katanya.

Bagaimanapun apabila sesi untuk bergambar pada kain rentang menyatakan sokongan terhadap Jabu, hanya sebilangan yang bersetuju untuk bergambar.

Elli menegaskan bahawa tindakan mereka bukanlah sekadar sandiwara dan terhasil daripada perbincangan daripada kedai kopi tersebut.

Namun demikian, beliau berkata bahawa pihaknya tidak akan menulis sebarang surat kepada Jabu tetapi memilih untuk menerima maklum balas selepas berita yang disiarkan melalui pihak media.

Ditanya mengenai sesetengah kumpulan yang mahukan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai KM yang seterusnya, Elli enggan untuk memberi sebarang ulasan memandangkan ia terpulang kepada persepsi masing-masing.

Beliau bagaimanapun berharap agar  peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah.