Datuk Matnor Daim dinobatkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011

0

KUCHING: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Nor Daim @ Matnor Daim dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 semalam.

Anak kelahiran Sibu, Sarawak itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Men-teri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis sambutan itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini. Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Matnor, 68, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1997 sebelum bersara sentiasa memajukan bidang pendidikan demi anak bangsa.

Beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab mencetuskan “pemikiran kreatif dan lateral” di Kementerian Pelajaran dan mula menggunakan Modul Simulasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran seawal tahun 1974.

Matnor telah banyak mencurahkan idea bernas dan sumbangan kepada bidang kepimpinan pendidikan melalui penglibatan aktif dalam seminar-se-minar di dalam dan luar negara.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Matnor berkata dengan berbekalkan semangat dan motivasi menerusi pendi-dikan, guru mampu berdepan dengan apa juga cabaran dalam menjalankan tugas mereka.

Pada majlis itu, empat tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dipilih sebagai Tokoh Guru 2011. Mereka ialah Datuk Prof Dr Abdul Rahim Selamat dari Melaka, Datuk Siva Subramaniam dari Perak, Hamedah Wok Awang dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar @ Rita Bagong dari Sabah. Masing-masing menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai RM10,000.

Abdul Rahim, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Industri Selangor (UNISEL), berkata para pendidik harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam usaha melahirkan modal insan.

“Mereka (guru) harus sentiasa belajar dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan yang berubah dengan laju,” katanya.

Siva yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berkata anugerah Tokoh Guru memberi satu inspirasi kepada beliau untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan untuk melahirkan lebih ramai modal insan.

“Saya berasa syukur dan bangga kerana ia merupakan satu penghargaan yang paling istimewa,” kata Siva. – Bernama