Sunday, September 26

ISA harus dikenakan ke atas Ibrahim, Francis dan Abdillah

1

KUCHING: Senator Datuk Idris Buang berkata jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dikenakan ke-pada sesiapa sahaja, ia seharusnya dikenakan ke atas Ibrahim Ali (PERKASA) dan Francis Seah serta Abdillah Nasar, anggota Movement of Change Sarawak (MOCs).

Beliau berkata walaupun dua kumpulan berfikiran sempit itu mempunyai objektif atau agenda berbeza mereka mempunyai  kecenderungan yang sama menarik untuk perhatian orang ramai.

Katanya, jika tidak dikawal mereka boleh mendorong golongan tidak bertanggungjawab menimbulkan kekecohan.

“Ibrahim Ali, tanpa berselindung mengesahkan PERKASA bersedia untuk me-lakukan jihad ke atas orang Kristian yang didakwanya  tidak tahu berterima kasih manakala Francis Seah dan rakan sekongkolnya dalam MOCs mendesak Ketua Menteri Sarawak meletak jawatan pada atau sebelum 13 Ogos 2011.

“Ini amat bertentangan dengan demokrasi, peraturan undang-undang dan kesahihan,” kata Idris kepada pemberita di sini semalam.

Beliau menambah Ibrahim Ali seharusnya menunjukkan dirinya sebagai umat Islam yang bertanggungjawab.

“Islam berpegang kepada al-Quran dan sunah untuk mengekalkan integritinya dalam mengekalkan keamanan semua bangsa.

“Melakukan apa sahaja dalam keadaan lain tidak hanya melanggar undang-undang dunia tetapi akhirat,” tegasnya.

Idris, Ahli Majlis Tertinggi PBB dan peguam sebagai profesion, menegaskan tindakan Seah dan Abdillah pula sebenarnya adalah jenayah mengancam dan ugutan politik.

“Memaksa Ketua Menteri yang mendapat mandat sepenuhnya mengetuai kerajaan meletak jawatan dalam tempoh tiga bulan, jika beliau gagal berbuat demikian maka demontrasi akan diadakan, sudah satu jenayah.

“Seah dan Abdillah dengan jelas ditolak oleh pengundi pada pilihan raya negeri lalu dan kekalahan mereka adalah suatu yang sangat mendukacitakan,” kata Idris.

Menjelas lanjut mengenai perkara itu beliau berkata, mereka (Seah dan Abdillah) telah menyalah guna kebebasan mereka untuk bersuara dan berpersatuan di bawah Perlembagaan.

“Mereka masih dalam kempen untuk menggugurkan pemimpin kita yang sah dan menyebarkan kebencian yang jauh bertentangan dengan amalan demokrasi.

“Suatu yang amat memalukan bagi mereka yang tewas ini!

“Saya menggesa polis menahan mereka di bawah mana-mana undang-undang sedia ada yang sesuai dan berdepan dengan mereka sama seperti pesalah biasa yang lain.

“Kenyataan mereka tidak mengenal belas kasihan dan berbaur hasutan boleh menye-babkan rasa tidak senang di kalangan pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu Ketua Cawangan Khas Negeri Sarawak SAC Datuk Aladdin Kassim yang turut dihubungi semalam enggan mengulas mengenai isu tersebut.