10 pekerja jalan raya Afghan maut kena bom

0

KANDAHAR: Sepuluh orang terbunuh dan 30 lagi cedera kelmarin apabila sebuah trak yang membawa pekerja jalan raya terkena sebutir bom di selatan Afghanistan.

Insiden itu berlaku di daerah luar bandar Panjwayi di wilayah Kandahar.

“Sepuluh mayat dan 30 mangsa cedera telah dihantar ke hospital,” kata pengarah kesihatan wilayah Kandahar, Abdul Qayoum Pukhla.

Serangan bom itu disahkan oleh ketua daerah Panjwayi, Fazluddin Agha.

Seorang mangsa yang terselamat dan enggan dikenali berkata seramai 40 orang menunggang trak berkenaan.

Dalam kejadian lain, ketua timbalan agensi perisikan Afghanistan, Ahmad Zia terselamat dalam satu cubaan untuk membunuhnya di ibu negara Kabul selepas pengawal menembak mati seorang lelaki yang cuba merempuh kenderaannya dengan sebuah kereta yang membawa muatan bom, kata polis.

Gabenor di salah sebuah wilayah paling bergolak di negara itu, Helmand, turut terselamat dalam satu serangan hendap.

Mohammad Gulab Mangal sedang dalam perjalanan pulang ke ibu kota wilayah Lashkar Gah selepas mengadakan lawatan rasmi apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya diserang tetapi pasukan keselamatan membalas tembakan dan membunuh dua penyerang, kata pejabatnya.

Di utara Afghanistan, empat kanak-kanak terbunuh dan seorang lagi cedera di bandar utara Mazar-i-Sharif selepas menyentuh sebutir bom periuk api yang mereka temui dalam perjalanan ke sekolah, kata jurucakap polis Sheikh Jan Durrani.

Di bahagian barat, kru sebuah jet pejuang Perancis terselamat tanpa mengalami kecederaan selepas pesawat mereka terhempas 100 kilometer ke barat Farah.

Seorang jurucakap tentera Perancis menolak serangan musuh sebagai punca nahas dan menjelaskan bahawa mereka sedang menjalankan siasatan. — AFP