Hanya PBB penyelesaian bagi kedaulatan Palestin

0

ENGGAN DIPERBODOHKAN: Anggota Fatah Azzam al-Ahmed (depan) mendengar soalan semasa sidang akhbar di Moscow, kelmarin sehari selepas bertemu Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov yang meluahkan sokongan kerajaannya untuk perbincangan PBB mengenai kedaulatan Palestin. — Gambar AFP

RAMALLAH: Palestin kelmarin memberi tumpuan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran ucapan oleh perdana menteri Israel yang tidak memberikan sebarang insentif baru kepada rundingan damai.

Dalam ucapan 45 minit kepada Kongres Amerika Syarikat, Benjamin Netanyahu menggariskan wawasan yang langsung tidak menyentuh sebarang peluang bagi Palestin mendapatkan pengiktirafan PBB bagi negara mereka pada tahun ini atau menghidupkan semula proses damai yang buntu.

Pegawai di bandar Ramallah, Tebing Barat berkata ucapan tersebut tidak memberikan perkara baru dan hanya menambah lebih banyak halangan kepada usaha damai, manakala Hamas yang memerintah Gaza berkata Netanyahu telah meletakkan syarat yang mustahil untuk ditunaikan oleh Palestin.

“Tiada perkara baru dalam ucapan Netanyahu kecuali menambah halangan dalam laluan ke arah keamanan yang jujur, serius, berkekalan dan menyeluruh,” kata Nabil Abu Rudeina selaku jurucakap Presiden Palestin, Mahmud Abbas.

Keamanan, katanya, memerlukan penanda aras antarabangsa seperti pengiktirafan sempadan pada 1967 sebagai asas bagi sebarang rundingan damai, idea yang berulang kali ditolak oleh Netanyahu dalam siri ucapan semenjak empat hari lalu.

Seorang pegawai kanan dalam pergerakan Fatah pimpinan Abbas, Jibril Rajoub memberitahu AFP, ucapan itu mendedahkan “wajah sebenar” Netanyahu dan parti haluan kanannya yang memerintah negara, Likud, yang beliau sifatkan sebagai “ancaman kepada kestabilan serantau dan keamanan antarabangsa”.

Seorang jurucakap kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza, Taher al-Nunu memberitahu AFP ia membuktikan Netanyahu “tidak mahukan sebarang proses damai dan beliau menetapkan syarat yang mustahil untuk ditunaikan oleh pihak Palestin”.

Netanyahu, beliau mendakwa, “cuba menipu dunia dengan bercakap mengenai kemungkinan untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin tetapi pada waktu yang sama memusnahkan asasnya” dengan menolak kepulangan kepada sempadan 1967, apabila beliau enggan melepaskan kawasan yang dirampas di timur Baitulmaqdis dan menolak sebarang kepulangan bagi pelarian.

Pemimpin Israel itu memang sudah dijangka akan melakukan sesuatu untuk menghalang Palestin daripada meneruskan kempen diplomatik untuk mendapatkan pengiktirafan PBB bagi negara yang dijanjikan bagi mereka yang dirangkumi sempadan 1967 dalam langkah yang dijangka diambil pada September.

“Selepas ucapan Netanya-hu, Palestin hanya ada satu pilihan, pergi ke PBB pada September, ke Perhimpunan Agung,” kata perunding Mohammed Shtayeh.

Netanyahu malah menca-dangkan tentangan dan menggesa sesiapa yang berminat menyelesaikan konflik berdekad-dekad itu agar menentang keras usaha Palestin diiktiraf PBB.

“Cubaan Palestin untuk memaksa penyelesaian menerusi PBB tidak akan membawa keamanan.”

Beliau turut membidas perjanjian damai dimeterai baru-baru ini di antara gerakan sekular Fatah pimpinan Abbas dengan Hamas dan menggesa presiden Palestin itu menolak perjanjian tersebut.

“Saya berkata kepada Presiden Abbas: koyak pakatan anda dengan Hamas. Duduk dan berunding. Berdamailah dengan negara Yahudi. Jika anda berbuat demikian, saya menjanjikan perkara ini: Israel tidak akan menjadi negara terakhir yang mengalu-alukan negara Palestin sebagai anggota baru PBB, sebaliknya akan menjadi negara pertama.”

Namun jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menolak kenyataannya.

“Jawapan sebenar kepada ucapan yang bongkak dan menafikan hak Palestin ini haruslah dengan menamatkan sepenuhnya rundingan dan melaksanakan perdamaian secepat mungkin.” — AFP