Lonjakan harga getah dan lada meriahkan lagi Gawai

0

Dengan harga getah tidak kurang RM9 sekilogram dan RM22 lada hitam, tidak salah mereka ‘beraya sakan’

PAKAN: Lonjakan harga getah dan lada hitam sekarang bakal menggandakan kemeriahan sambutan Hari Gawai pada Rabu ini, khususnya di kalangan kalangan masyarakat itu yang tinggal di pedalaman.

Dengan harga getah tidak kurang daripada RM9 sekilogram dan RM22 bagi lada hitam, tidak salah untuk mereka ‘beraya sakan’.

“Sudah lama kami tidak menikmati pendapatan sebesar ini,” kata tuai rumah panjang dari Nanga Darau, Andrew Ungon ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ungon berkata secara purata, sepasang suami isteri yang mengusahakan ladang getah mampu memperolehi RM100 sehari dan jumlah itu bertambah jika lebih ramai daripada sebuah keluarga menoreh getah.

“Ramai yang mampu mengubah suai rumah panjang masing-masing, membiayai pelajaran anak dan ada yang membeli kenderaan pacuan empat roda, iaitu satu-satunya kenderaan yang sesuai untuk persekitaran di sini.

“Pendapatan tambahan ini juga bermakna lebih banyak bir dan minuman keras yang lebih mahal berbanding sekadar minuman tuak tradisional,” kata pesara kerajaan itu sambil tergelak kecil.

Bapa kepada tiga anak lelaki yang semuanya lulusan universiti itu juga berkata lonjakan harga getah turut membuatkan ramai penduduk di kawasannya meminta kerajaan membantu mereka membuka lebih banyak kebun kecil.

Seorang lagi pemimpin masyarakat, Cosmas Pangau berkata Julau, Pakan dan Sarikei masih menjadi pengeluar utama dua komoditi itu bagi wilayah tengah Sarawak.

“Malangnya ramai pengusaha lada hitam berhenti mengerjakan ladang mereka pada suatu ketika dahulu apabila harga komoditi itu menjunam, sebab berbanding getah, lada hitam memerlukan kerja keras yang berterusan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada juga yang tidak berputus asa dan kini mereka dicemburui oleh penghuni lain kerana pendapatan yang melambung tinggi.

Sementara itu, tinjauan Bernama di jeti bot ekspres Kapit mendapati perkhidmatan tersebut terus menjadi tumpuan warga bandar seperti Kapit dan Song yang berpusu-pusu balik kampung.

Pemilik syarikat bot Ling Kuok Chiong menganggarkan sekurang-kurangnya 4,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari sejak beberapa hari lepas, dengan 30 perjalanan saban hari.

“Saya jangka lebih ramai memulakan perjalanan hari ini bagi memastikan mereka tiba tepat pada masa untuk makan besar bersama keluarga petang esok,” katanya.

Perkara sama dapat dilihat di stesen bas Sibu untuk perjalanan jarak jauh. Bagi pemilik tanah kosong di Nanga Semaram, Kanowit dan Nanga Entabai di Julau, sekarang adalah musim mencari pendapatan tambahan dengan menjadikan kawasan mereka sebagai tempak letak kenderaan.

Ini kerana ramai warga bandar yang tiba dari Miri, Sibu, Bintulu, Kuching dan bandar-bandar di Sabah akan meletak kenderaan di situ dengan kadar bayaran tertentu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah panjang masing-masing dengan bot. — Bernama