Masyarakat, jabatan kerajaan, NGO harus bekerjasama kekalkan segala kebaikan

0

SARIKEI: Masyarakat, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus saling bekerjasama rapat untuk memastikan  segala kebaikan yang dinikmati selama ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

Usaha ketiga-tiga pihak amat penting bagi memasti-kan setiap perancangan yang diatur oleh kerajaan berjalan lancar.

Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing berkata, fungsi dan peranan jabatan kerajaan yang kerap turun padang dalam membantu dan menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat amat diperlukan.

Sehubungan itu beliau menyeru agar setiap badan atau jabatan kerajaan yang berkaitan meneruskan usaha membantu masyarakat mempertingkat-kan sosioekonomi sekali gus membantu kerajaan membasmi kemiskinan.

“Kepada masyarakat luar bandar, saya ingin mengingatkan agar mereka tidak mudah terpedaya dengan mana-mana propaganda yang dicanang oleh setengah pihak dengan menyatakan bahawa masyarakat luar bandar dipinggirkan daripada arus pembangunan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang sangat mementingkan perkembangan rakyat serta sentiasa berjuang untuk rakyat dan oleh yang demikian sebagai rakyat yang berterima kasih dan mengenang budi mereka harus memberi sokongan padu kepada pemimpin dan kerajaan sedia ada.

“Propaganda dan isu-isu yang sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak adalah  isu yang sudah basi dan sering dibahas oleh mereka setiap kali menjelang pilihan raya demi kepentingan diri mereka sahaja,” kata Ding, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Gawai ke rumah panjang di kawasan Sungai Baji sempena sambutan Hari Gawai.