Masyarakat Selako sambut Gawai cara tersendiri

0

Sambutan Gawai bagi kaum ini bermula pada jam 12.00 tengah malam 31 Mei dengan upacara ‘buis’

SEMANGAT 1MALAYSIA: Ranum (tiga kiri) meraikan sambutan Gawai 2011 bersama-sama penduduk dan pemimpin masyarakat di Kampung Pueh, Sematan.

SEMATAN: Lebih daripada 70,000 masyarakat Bidayuh Selako daripada 23 kampung di daerah Lundu dan Sematan meraikan sambutan Hari Gawai pada 1 Jun lepas.

Berbeza dengan kaum Bidayuh yang lain, Selako mempunyai cara sambutan tersendiri yang diwarisi daripada nenek moyang mereka lebih daripada 100 tahun lalu.

Ketua Adat Selako Kampung Pueh Mina Kalum, 81, berkata acara sambutan Gawai bagi kaum ini bermula pada jam 12.00 tengah malam 31 Mei dengan upacara ‘buis’.

Menurutnya upacara ini bertujuan memohon kepada nenek moyang mereka dahulu kala agar dilimpahi dengan rezeki yang baik pada kedatangan Gawai.

Dalam upacara tersebut, ketua adat akan mempersembahkan ‘Apar’  kepada nenek moyang yang diisi dengan Tumpi, Poi’ek (Pogang), Bontokng serta daging ayam.

“Upacara buis akan dilakukan di anjung rumah panjang dan disertai oleh semua penduduk kampung dan diketuai oleh ketua adat.

“Selepas selesai upacara buis, penduduk akan masuk ke rumah panjang dan meraikan tarian asal Selako, antaranya wek jongan, totong, terabang dan tari binaul,” katanya.

Mina berkata demikian ketika ditemu ramah Utusan Borneo di rumah panjangnya di Kampung Pueh di sini sempena Majlis Sambutan Malam Gawai 2011 baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina, Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang dan Ketua Kampung Pueh Milos Nimbun.

Terdahulu pada majlis tersebut, Ranum berkata ia bukan sahaja untuk meraikan sambutan Hari Gawai, pada masa yang sama sebagai tanda kesyukuran selepas kemenangannya pada pilihan raya negeri lepas.

“Majlis ini mempunyai makna yang besar kepada saya, kerana bukan sahaja meraikan Hari Gawai malah sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan saya pada pilihan raya negeri lepas,” katanya.

Menjelang 1 Jun, seawal jam 9.00 pagi masyarakat Selako akan mengadakan upacara ‘Narankng’ iaitu perarakan menggunakan pakaian tradisional diiringi dengan muzik tradisional di sepanjang kampung.

Upcara tersebut bertujuan memohon kampung-kampung atau rumah-rumah dan penduduk dalam keadaan yang selamat, murah rezeki dan mendapat hasil padi serta tanaman lain yang lebih baik.