Kekalkan alam semula jadi

0

Industri pelancongan perlu menjaga, mengekalkannya sebagai tarikan pelancong datang ke negara ini

LANGKAWI: Pihak yang terbabit dalam industri pelancongan perlu menjaga dan mengekalkan khazanah alam semula jadi yang menjadi daya tarikan pelancong datang ke negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata sekiranya tempat-tempat tarikan ini tercemar sudah pasti usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu sumber utama pendapatan negara akan gagal.

“Ini sekali gus merencatkan perancangan untuk membawa pertumbuhan ekonomi Langkawi ke arah yang lebih baik,” katanya pada majlis penutup Karnival Langkawi Geopark 2011 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Dataran Lang di sini malam kelmarin.

Karnival itu yang bertemakan menghayati keindahan alam semula jadi serta menerapkan nilai-nilai murni dalam aspek budaya warisan diadakan sempena ulang tahun keempat pengisytiharan Langkawi sebagai Global Geopark Network oleh Unesco pada 2007.

Beliau turut menyarankan agar warga Langkawi bersama-sama menjaga keselamatan kemudahan-kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Tindakan merosakkan kemudahan awam dan vandalisme perlu dicegah kerana ia akan merugikan kerajaan dan rakyat,” kata Dawos.

Katanya pada masa sama LADA turut membantu, merancang dan melaksanakan banyak program untuk memeriahkan kalendar pelancongan Langkawi.

Dawos mencadangkan agar LADA menjadikan karnival itu sebagai acara tahunan kerana beliau yakin ia akan menjadi tarikan pelancong ke Langkawi.

Beliau berharap Langkawi Geopark akan diaudit dan dinilai semula pada tahun ini serta berharap ia terus kekal menjadi anggota Unesco Global Geopark Newwork.

Sementara itu Pengurus Besar LADA Datuk Azman Umar berkata geopark adalah jenama baru yang diiktiraf untuk Langkawi yang menjadi pemangkin kepada industri pelancongan pulau ini yang menarik minat ramai pelancong mengunjunginya.

Beliau yakin Langkawi akan menjadi salah satu destinasi geopark terkemuka di persada antarabangsa.

Sebanyak 20 acara diatur pada karnival selama lima hari itu, antaranya kenduri rakyat, persembahan wayang kulit di Pulau Tuba, lawatan berpandu di Kilim, pameran di Dataran Lang, geohunt di Kompleks Pekan Rabu, ceramah agama perdana di Masjid Al Hana Kuah, permainan rakyat, futsal, sepak raga tuju dan bola tampar pantai di Taman Legenda selain persembahan kebudayaan kanak-kanak, konvoi skuter, pertandingan motor tercantik dan pertandingan memasak turut diadakan bagi memeriahkan lagi karnival itu. — Bernama