Lelaki ditemui meninggal dunia di dalam bilik tidur

0

KUCHING: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam bilik tidur di rumah saudaranya yang terletak di Batu Kawa, di sini petang semalam.

Mangsa yang berusia 34 tahun itu berasal dari Bintulu dan bekerja di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sama Jaya.

Mayat mangsa yang sudah hampir reput dan penuh dengan ulat ditemui oleh saudaranya yang pulang daripada menyambut perayaan Hari Gawai.

Menurut sumber, mangsa dikatakan menangguh perjalanan pulang ke rumahnya kerana terpaksa bekerja.

Keluarga mangsa juga dikatakan telah banyak kali menghubungi mangsa kerana mangsa tidak menunjukkan dirinya sejak 1 Jun lepas, namun gagal.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang anggota polis maut manakala rakannya cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tebedu, Serian sekitar jam 5 petang kelmarin (Sabtu).

Mangsa yang berasal dari Sabah dan telah berkhidmat di Balai Polis Serian dikatakan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Menurut sumber, kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok.

Rakan mangsa yang berusia 32 tahun telah dipindahkan dari Hospital Serian ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut sekitar jam 10 malam pada hari yang sama.

Pihak polis masih menjalankan siasatan.