Kepimpinan SUPP harus letak jawatan beramai-ramai, kata Wong Soon Kai

0

KUCHING: Kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini termasuk presidennya Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan harus meletak jawatan beramai-ramai untuk memberi laluan kepada barisan kepimpinan baru yang boleh mengeluarkan parti itu dari ‘krisis terburuk semenjak penubuhannya’.

Bekas Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai berkata, pemimpin SUPP sekarang juga harus mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) secepat mungkin bagi memilih barisan kepimpinan baru.

Katanya, parti harus bertindak dari sekarang memandangkan “ia soal hidup dan mati parti”.

“Tidak ada sebab bagi kepimpinan sekarang untuk mengekalkan jawatan mereka dalam parti dan merebut kerusi kosong di kalangan mereka.

“Bagi menyelamatkan parti, mereka mesti memikirkan apa yang terbaik bagi parti dan bukannya berbalah antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Dr Wong menambah memandangkan Dr Chan sudah mengemukakan peletakan jawatan tetapi dipujuk Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk kekal sehingga TDC akan datang, Dr Chan harus menunaikan tugasnya “untuk memperbetulkan keadaan sebelum berundur”.

Semenjak penubuhan pada 1959, SUPP telah menghadapi banyak cubaan dan kepayahan tetapi tidak seteruk pilihan raya negeri baru-baru ini apabila ia tewas 13 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.

Dr Wong berkata, pilihan raya baru-baru ini menyaksikan kebanyakan ahli SUPP mengundi pembangkang terutamanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan bandar.

“Pembangkang terutamanya DAP mampu memenangi hati dan minda pengundi muda.

“Jadi bagi SUPP harus menghidupkan semula parti dengan melakukan perkara sama: mencari dan mendapatkan lebih ramai pengundi muda menyertai parti,” katanya.

SUPP yang telah menjadi parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional Sarawak di belakang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan disegani masyarakat Cina yang menganggap ia sebagai wadah politik mereka kini menghadapi risiko menjadi parti yang tidak relevan kepada masyarakat yang menubuhkannya.

“Pada zaman dahulu semua persatuan Cina termasuk pelbagai klan dan sekolah Cina pernah menyokong SUPP. Kini ia tidak lagi,” katanya.

Mengulas mengenai pilihan raya umum akan datang, Dr Wong berkata, SUPP seharusnya sudah menyediakan calon mereka tetapi memberi amaran ia tidaklah mudah kerana parti itu masih tidak menentu.

Ketika ditanya mengenai sama ada ahli Dayak dalam parti itu harus diberi peluang mengetuai SUPP, Dr Wong berkata, ia boleh berlaku secara dasarnya tetapi bukan secara realiti.

“Ini kerana kebanyakan ahli SUPP adalah berbangsa Cina manakala majoriti Dayak menyertai parti BN lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, SUPP yang menggunakan logo tiga bulatan itu melambangkan perpaduan di kalangan kaum Cina, Melayu dan Dayak.