Wednesday, January 29

Mawan sedia bermesyuarat ikut kesesuaian ‘SPDP 5’

0

Kelima-lama ahli majlis tertinggi terbabit masih ‘enggan’ hadir

BERSEDIA: Mawan bersama ahli-ahli MT parti itu yang hadir pada mesyuarat di Sibu semalam.

SIBU: Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom bersedia mengadakan mesyuarat untuk ahli majlis tertinggi parti mengikut kesesuaian ahli SPDP 5.

Ahli SPDP 5 terbabit ialah Naib Presiden Kanan Datuk Peter Nansian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Sylvester Entri Muran (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Datuk Dr Tiki Lafe (Ahli Parlimen Mas Gading).

Mereka berlima tidak hadir semasa mesyuarat yang diadakan semalam.

“Mereka telah memberi sebab kenapa mereka tidak dapat hadir hari ini. Bagaimanapun, saya bersedia mengadakan mesyuarat yang sama mengikut kesesuaian mereka,” jelasnya.

Katanya, ahli majlis tertinggi parti yang hadir pada mesyuarat semalam menyokong beliau.

“Mereka berlima boleh memberitahu saya bila mereka dapat hadir jika mesyuarat sama diadakan semula,” ujar beliau.

Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat semalam ialah keputusan  ‘post mortem’ pilihan raya negeri yang lepas serta persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum, Mawan berkata, SPDP berharap empat Ahli Parlimen dari parti itu diberi peluang untuk mempertahankan kerusi yang sama.

Mereka ialah Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sangan, Ahli Parlimen Saratok, Jelaing Mersat, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.

“Mereka telah melakukan yang terbaik. Tetapi seperti yang kami katakan kami tidak menolak atau memberi arahan,” jelasnya yang juga ADUN Pakan.