Kerajaan tetap bangun projek perparitan

1

PERIKSA: Lawrence (tengah) ditemani jurutera MBM meneliti pelan projek parit konkrit di Kampung Pujut Adong 3B yang masih dalam pembinaan.

Pelaksanaannya dijangka siap seperti dijanjikan wakil rakyat BN, kata Datuk Bandar

MIRI: Projek-projek perparitan di kampung dalam konstituensi Piasau dan Pujut sedang giat dibangunkan dan dipastikan siap seperti yang dijanjikan oleh wakil Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Projek menaik taraf itu dilaksanakan bawah bekas ADUN Piasau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan bekas ADUN Pujut Andy Chia.

Kerajaan berharap dengan pembinaan parit konkrit dan parit banjir di kampung  khasnya di kawasan tanah rendah akan dapat mengurangkan kejadian banjir kilat ketika hujan lebat pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun kedua-dua kawasan berkenaan kini di bawah kepimpinan ADUN baru dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu Ling Sie Kiong dan Fong Pau Teck yang masing-masing memenangi kedua kerusi berkenaan dalam pilihan raya negeri ke-10 pada April lalu.

“Projek ini telah dirancang sebelum pilihan raya bawah Tan Sri Dr Chan dan Andy. Ia tetap akan dilaksanakan dan dibangunkan seperti yang dijanjikan,” jelas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.

Beliau berkata demikian ketika melawat projek-projek menaik taraf sistem perparitan di Kampung Lereng Bukit semalam.

Lawrence memberitahu, kerajaan membelanjakan sejumlah RM100,800 untuk memperbaiki  sistem saliran di kampung berkenaan di mana projek telah dilaksanakan secara berperingkat sejak bulan Januari lalu.

Sebanyak empat projek yang dibina pada bulan Januari, April, Mei dan Jun yang turut membabitkan parit konkrit hampir 100 meter oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

MBM membina sepanjang 80 meter parit konkrit menuruni Bukit Kanada bertujuan untuk mengelak hakisan air hujan yang menyebabkan  tanah runtuh.

Tentang projek parit di Kampung Pujut Adong 3B, Lawrence memberitahu keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi.

“Kita membina sepanjang 643 meter parit konkrit di kawasan ini dan keseluruhan projek dianggarkan bernilai RM287,000. Projek ini telah dilancarkan oleh Andy Chia sebelum pilihan raya untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini,” jelasnya.

Lawrence yang ditemani jurutera MBM turut melawat projek parit di kampung Pulau Melayu yang telah siap pada pertengahan bulan ini.

MBM telah membina sepanjang 400 meter parit konkrit yang dianggarkan bernilai RM180,000.