MDLBS tidak layan bil PKR

0

Tuntutan bagi kerja-kerja bersih parit tidak lojik: James

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) tidak akan melayan sebarang tuntutan bayaran bil daripada PKR Sibu bagi kerja-kerja membersihkan parit yang dilakukan di Sungai Bidut, baru-baru ini.

Pengerusi MDLBS, James Laju Ambok berkata, tuntutan bayaran bil itu tidak kena pada tempatnya serta tidak logik.

“Bagaimana mereka (PKR) mahu menuntut bayaran daripada kami. Ini tidak betul dan pihak majlis tidak akan menerima sebarang bil daripada mereka,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PKR Sibu Simon Tiong yang mahu mengemukakan tuntutan bayaran bil atas kerja-kerja membersihkan parit yang dilakukan di Jalan Kwong Ming, Sungai Bidut.

“Saya tidak akan setuju atau menerima bil yang dikemukakan kepada kami,” tegas James.

Sebelum ini, Tiong memberitahu bahawa pihaknya telah menggunakan sebuah jengkaut bagi membersihkan parit yang tersumbat, selepas menerima aduan daripada penduduk di Jalan Kwong Ming.

“Selama ini, pihak majlis telah melakukan yang terbaik bagi meningkatkan taraf hidup penduduk. Lagipun, penduduk di situ telah menikmati jaringan jalan raya yang baik.

“Walaupun kami menyambut baik tindakan mereka dalam menyuarakan kawasan yang perlu diberi perhatian, namun mereka tidak boleh berbuat sesuka hati termasuk menuntut bayaran daripada kami,” katanya.

James memberitahu, kerja-kerja membersihkan parit itu boleh dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk.

Beliau turut menyeru agar pihak pembangkang menjalankan tugas mereka dan tidak hanya menyalahkan pihak lain kerana tidak menjalankan tugas atau kerana rasa tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.

Dalam pada itu, Tiong turut mendakwa bahawa pihak MDLBS gagal menyelenggara infrastruktur di kawasan kampung di bawah bidang kuasanya.

Dengan sumber yang terhad menurut James, pihak majlis menyelenggara kawasan yang amat luas, termasuk daerah Selangau.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan yang pihak majlis akan memperbaiki kemudahan seperti jalan raya dan sebagainya di kawasan yang memerlukan perhatian segera.

“Memandangkan kami menjaga kawasan yang agak luas, mungkin ada kawasan yang terlepas pandang. Namun kami berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan sumber yang agak terhad,” tambah James.