Sunday, July 12

Penubuhan suruhanjaya bebas tanah NCR penting dan perlu disegerakan

0

KUCHING: Penubuhan suruhanjaya bebas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penting dan perlu direalisasikan segera kerana wujudnya perbezaan definisi atau kehakiman antara kerajaan negeri dan mahkamah mengenai tanah NCR.

Perkara itu dimaklumkan oleh Baru Bian (PKR-Ba’ Kelalan) dalam sidang media di Pusat Media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Beliau berkata pendirian kerajaan ialah hanya tanah yang diusahakan dengan pertanian sebelum 1 Januari 1958 atau ‘Tanah Temuda’ dianggap tanah NCR sedangkan mahkamah menetapkan tanah NCR termasuk ‘Pemakai Menua’ dan ‘Pulau’.

“Ini masalah besar dan aspek yang sangat penting untuk penubuhan suruhanjaya bebas tanah Hak Adat Bumiputera untuk menyelesaikan pencerobohan tanah-tanah NCR oleh syarikat sama ada untuk tujuan perladangan atau pembalakan.

“Ini kerana suruhanjaya ini yang dianggotai ahli daripada sektor awam dan swasta akan menentukan status mana-mana tanah tertentu sebelum lesen dikeluarkan,” jelasnya.

Terdahulu Baru memberitahu wakil media bahawa kes terbaru membabitkan pence-robohan tanah NCR oleh syarikat berlesen untuk mengambil balak ialah di Ulu Machan, Kanowit dengan keputusan Mahkamah Tinggi Sibu baru-baru ini memihak kepada pemilik tanah sebagai plaintif.

Baru selaku peguam plaintif menjelaskan kes itu bukan yang pertama dan satu-satu kes menyaksikan penduduk asal berjaya menuntut hak ke atas tanah mereka.

“Saya ada mengendalikan beberapa kes sama sebelum ini dan atas sebab itu saya merasakan adalah amat perlu suruhanjaya bebas ini ditubuhkan dengan segera,” ujarnya.