Sunday, July 5

S’wak terima RM2.91 bilion

0

Pelaburan modal direkod kedua tertinggi selepas Johor pada suku pertama 2011

AWANG TENGAH

KUCHING: Sarawak merekodkan pendaftaran jumlah pelaburan kedua tertinggi pada suku pertama tahun 2011 dengan 16 projek melibatkan pelaburan modal sebanyak RM2.91 bilion telah diluluskan, selepas Johor dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.32 bilion.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata daripada RM2.91 bilion yang diterima, RM2.25 bilion adalah dari-pada pelaburan domestik sementara RM655 juta daripada pelaburan asing.

“Daripada 16 projek yang diluluskan,  lima projek berjumlah RM2.89 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Manakala 11 projek lagi berjumlah RM22.9 juta telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Industri Negeri (ICC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) semalam.

Menteri Kemudahan Awam itu menjelaskan kesemua 16 projek tersebut juga dijangka mampu menjana sebanyak 1, 262 peluang pekerjaan.

“Pelaburan-pelaburan ini kebanyakannya dalam dua  industri utama iaitu produk besi asas berjumlah RM2.87 bilion dan produk berasaskan kayu sebanyak RM20.8 juta,” katanya.

Katanya, sumber utama pelaburan asing ialah dari Hong Kong dengan jumlah pelaburan RM180 juta dalam industri besi asas, diikuti Bri-tish Virgin Islands dengan pelaburan RM6.2 juta dalam industri berasaskan kayu.

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari berkata pada 2010, negeri ini telah mendaftarkan jumlah pelaburan berjumlah RM3.95 bilion.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM3.55 bilion adalah daripada pelaburan  asing dan RM388 juta dari-pada pelaburan domestik.

Berdasarkan projek yang diluluskan, beliau berkata sebanyak 7,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan di negeri ini.