Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah terima 30 aduan, selesai 10 kes

1

KUCHING: Semenjak ditubuhkan setahun lalu, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) berjaya menyelesaikan 10 kes daripada 30 aduan diterima menerusi pelbagai penyelesaian.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, tujuh daripada 10 kes itu dapat diselesaikan melalui sesi mediasi.

Satu kes katanya, selesai kerana pengadu menarik balik aduan dan dua (kes) lagi diselesaikan melalui rundingan luar antara pemaju dan pembeli rumah.

Beliau menambah 16 aduan lagi telah diberi maklum balas oleh tribunal berhubung tindakan selanjutnya dan masih menunggu maklum balas daripada pihak pengadu untuk memfailkan kes.

“Bagi empat lagi kes adalah di luar bidang kuasa tribunal. Bagaimanapun pihak tribunal akan membantu melalui khidmat nasihat serta menyarankan kepada pengadu- pengadu ini untuk memanjangkannya kepada pihak-pihak berwajib,” jelasnya.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika menggulung ucapan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.