PBB Bukit Kota buat laporan bantah perhimpunan BERSIH

0

BANTAHAN: Sufian (dua kanan) bersama Pergerakan Pemuda lain menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis di Limbang, semalam.

LIMBANG: Suara bantahan berhubung perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dirancang akan diadakan Sabtu ini terus mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Semalam, Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota di sini membuat laporan polis berhubung perhimpunan tersebut sebagai tindakan menentang dan gesaan agar perhimpunan itu dibatalkan.

Ketua Pemudanya, Sufian Mohat berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk perhimpunan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Beliau berkata lagi, perhimpunan tersebut jika diadakan hanya akan menyusahkan orang ramai dan menimbulkan keadaan huru-hara sehingga menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.

“Kami tidak bersetuju dan menentang sekeras-kerasnya sebarang perhimpunan anjuran pihak BERSIH yang akan diadakan tanpa mengira di mana kawasan dan tempat,” katanya di sini semalam.

Kelmarin penganjur perhimpunan BERSIH bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan dan digantikan perhimpunan di stadium pada Sabtu ini ekoran desakan pelbagai pihak.

Pengerusinya, Datuk S. Ambiga menjelaskan tiada perarakan jalanan seperti yang dirancang sebelum ini sebaliknya diadakan di stadium.

Sufian berkata lagi, perhimpunan tersebut akan meninggalkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi dan pelancongan serta menyusahkan orang ramai khususnya para peniaga.

“Selain menjejaskan pendapatan peniaga, perhimpunan itu juga menjejaskan industri pelancongan selain memburukkan imej negara,” ujarnya.

Jelasnya perhimpunan sedemikian tidak seharusnya berlaku dalam arus pembangunan negara kerana ia boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram.

Sufian berkata, ia perlu dielakkan demi memastikan keharmonian dan ketenteraman negara tidak terjejas.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melibatkan diri atau menyokong perhimpunan ini kerana ia lebih untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya atas dasar memelihara demokrasi seperti didakwa.

Laporan polis yang dibuat pada jam 10.58 pagi di Balai Polis semalam adalah yang keenam dibuat di negeri ini melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu berhubung bantahan perhimpunan BERSIH.