Perhimpunan di stadium langkah tepat: Wan Junaidi

0

KUCHING: Pembatalan demonstrasi jalanan dan sebaliknya bersetuju dengan seruan kerajaan mengadakan perhimpunan BERSIH 2.0 di stadium dilihat sebagai satu langkah yang tepat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan tindakan tersebut selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakannya di stadium.

“Saya masih ingat PM ada mengatakan bahawa mereka boleh mengadakannya di stadium dan saya rasa ia selaras dengan seruan PM.

“Saya amat bersenang hati dengan perkara ini,” katannya pada sidang media di pejabatnya, di Jalan Kulas, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjur BERSIH 2.0 Datuk S. Ambiga yang kini mengubah rancangannya untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong  Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, kelmarin.

Wan Junaidi, bagaimanapun menyelar idea Ambiga yang berkeras mahu menghadap Agong kerana Agong ialah simbol dalam perlembagaan dan tidak boleh dilibatkan dalam pergerakan politik negara.

Menurutnya, begitu juga dalam persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di mana ahlinya tidak boleh menggunakan nama Sultan atau Agong sebagai alat berunding.

Katanya, adalah memadai apabila Agong menyeru semua orang untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keharmornian negara kerana demonstrasi jalanan tidak akan menyelesaikan masalah malah memburukkan lagi keadaan.

“Lihat keadaan di Timur Tengah. Adakah keadaan di situ sekarang sudah pulih dan bertambah baik? Tidak sama sekali,” katanya.

Justeru, katanya, sebarang ketidakpuasan harus diajukan terus kepada kerajaan walaupun negara ini mengamalkan demokrasi di mana ada kebebasa bersuara, namun ia tetap mempunyai panduan dan undang-undang.

“Beliau (Ambiga) fikir beliau melakukan perkara yang betul tetapi sekiranya beliau bertindak sedemikian untuk sesebuah parti, maka ia bukan ‘Bersih’ tetapi merupakan alat politik bagi seseorang kerana kadang-kadang saya lihat (Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) muncul dalam akhbar mengatakan bahawa beliau dapat mengarahkan Ambiga menghentikan demonstrasi itu.

“Ini bermakna, Ambiga merupakan alat (politik) kepada Anwar sekali gus membuktikan mereka tidak ‘Bersih’,” katanya lagi.