Seramai 236 ditahan sehingga jam 11.10 pagi

0

KUALA LUMPUR: Polis menahan 236 orang di beberapa lokasi di sekitar ibu negara sehingga jam 11.10 pagi semalam kerana disyaki mahu melibatkan diri dalam rancangan perhimpunan haram.

Daripada jumlah itu, 228 orang adalah lelaki dan lapan lagi wanita, menurut laman sosial Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Seramai 102 orang ditahan di Kampung Baru kerana memiliki baju-T Bersih, 11 ditahan di Stesen KTM Kuala Lumpur berdekatan Masjid Negara kerana memakai baju-T Bersih dan tiga wanita di Kompleks Beli-belah Sogo kerana memakai lilitan di kepala.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin bahawa berlakunya pertempuran antara polis dan sekumpulan orang sehingga gas pemedih mata dilepaskan.

“Berita itu adalah palsu,” demikian menurut laman sosial Facebook PDRM.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di ibu negara seperti di kawasan Istana Negara, mendapati semua laluan menuju ke kawasan itu ditutup dan pihak media juga tidak dibenarkan berada berhampiran kawasan tersebut.

Seramai 100 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan tiga meriam air dilihat mengawal kawasan tersebut.

Setakat ini, kawasan Stadium Merdeka, iaitu tempat yang dikatakan perhimpunan tersebut akan diadakan adalah terkawal dengan empat trak pasukan FRU ditempatkan di laluan masuk ke stadium.

Keadaan kecoh pula dilaporkan di Stesen KTM Kuala Lumpur berdekatan Masjid Negara apabila orang ramai melakukan provokasi terhadap polis yang mengawal kawasan tersebut.

Di Masjid Jamek pula, ratusan orang mula membanjiri kawasan tersebut dengan melaungkan takbir ‘Allahu Akbar’. Bagaimanapun, setakat ini keadaan di situ terkawal.

Polis turut kelihatan mengawal kawasan Taman Tasik Titiwangsa, yang dikatakan menjadi tempat Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) berhimpun, walaupun tiada seorang pun anggota PERKASA kelihatan di situ. Keadaan tenang dan terkawal di Jalan Bukit Bintang, di mana anggota kumpulan Patriot yang dikatakan akan berhimpun di situ belum kelihatan sehingga kini.

Orang ramai dan pelancong kelihatan masih bersiar-siar di kawasan Jalan Bukit Bintang menuju ke pusat beli-belah terdekat seperti BB Plaza, Lot 10 dan Sungai Wang yang tetap beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, urusan harian di bandar-bandar utama di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak adalah seperti biasa dan terkawal tanpa sebarang tanda berlaku perhimpunan haram.

Tinjauan Bernama di kebanyakan ibu negeri mendapati orang ramai menjalani urusan harian seperti biasa manakala pelancong memenuhi lokasi tarikan pelancongan.

Premis-premis perniagaan dibuka seperti biasa dengan beberapa premis menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan barangan untuk keperluan harian mereka.

Laluan ke Selatan melalui Lebuh Raya Utara Selatan juga lancar seperti biasa. — Bernama