Tampilkan bahan bukti: Lawrence

0

MBM perlu bukti untuk tutup pusat refleksologi tawar khidmat seks

MIRI: Bahan-bahan bukti berupa rakaman gambar atau video diperlukan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membolehkan mereka menutup operasi pusat refleksologi yang didapati menawarkan khidmat seks.

Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, bahan-bahan bukti dari orang awam akan mengukuhkan dakwaan mereka sekali gus membolehkan pihak berkuasa melakukan tindakan undang-undang.

“Tunjukkan bukti terlebih dahulu sekiranya anda tahu berlakunya kegiatan haram dan tidak bermoral di pusat refleksologi. Jika ada bukti, kita (MBM) tidak teragak-agak untuk menggantung lesen perniagaan mereka,” jelas beliau.

Menurut Lawrence, bahan bukti itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk mendakwa pengusaha atas kesalahan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

Beliau memberitahu, dalam tempoh enam bulan ini, MBM belum menerima kes berhubung kegiatan maksiat di pusat refleksologi di sini.

“Tolong beri bukti-bukti yang anda ada kepada kita. Kita akan minta bantuan pihak polis untuk dakwa mereka,” tegasnya.

Masyarakat tidak seharusnya menyalahkan sepenuhnya MBM tentang penularan gejala maksiat di pusat refleksologi.

MBM, katanya mengeluarkan lesen perniagaan setelah mendapat kelulusan daripada pihak bomba dan penyelamat tentang keselamatan tempat perniagaan.

Kemasukan pekerja-pekerja asing termasuk tukang-tukang urut wanita dari negara China diuruskan oleh Jabatan Imigresen serta Jabatan Tenaga Kerja.

“Kita tidak dapat kawal apa yang pelanggan dan pekerja buat. Ia sama sekali di luar bidang kuasa kita,” ujarnya.

Dalam bidang penguatkuasaan, MBM memastikan pengusaha patuh kepada peraturan yang ditetapkan merangkumi rekaan dalaman pusat refleksologi.