Saturday, December 7

MoCS patut ukur baju di badan sendiri

0

Ia pertubuhan tidak berdaftar yang tidak layak mempersoalkan sistem demokrasi

KUCHING: Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) wajar ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum mempertikaikan amalan demokrasi di Sarawak.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, MoCS perlu sedar kedudukannya sebagai pertubuhan tidak berdaftar yang tidak layak mempersoalkan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini secara keseluruhannya.

Katanya, MoCS tidak mempunyai mandat untuk memerintah tetapi cuba bercakap mengenai transformasi Sarawak.

“Sebelum itu siapa MoCS ini? Difahamkan ia satu organisasi tidak berdaftar pun.

“Kita (Barisan Nasional) telah pun memenangi 55 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya negeri lalu dan ini diadakan menerusi proses demokrasi pilihan raya, jadi MoCS harus sedar siapa mereka,” tegasnya.

Beliau diminta mengulas kenyataan dalam sebuah blog mengatakan MoCS akan mengadakan rapat umum bertema ‘Berjalan untuk Demokrasi dan Reformasi’ pada 13 Ogos ini di Kuching.

Awang Tengah berkata, rakyat telah pun membuat pilihan dalam pilihan raya negeri lalu dan mandat sepenuhnya diberikan kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

“Siapa yang mempunyai kuasa dalam menentukan pemerintahan dalam pilihan raya, yang kita amalkan melalui demokrasi. Pihak yang berkuasa adalah rakyat, diterjemahkan menerusi pilihan raya.

“Keputusannya kita sudah tahu, berbanding MoCS adalah (badan) tidak berdaftar. Jadi mereka harus sedar diri,” katanya.

Pemimpin pergerakan itu, Francis Siah yang ditemui di Kuala Lumpur Ahad lepas memberitahu keputusan telah dibuat untuk menukar tema asal perhimpunan yang anti-Taib.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, MoCS sepatutnya mempunyai pendirian sendiri mengenai tujuan sebenar rapat umum yang bakal mereka lakukan pada 13 Ogos ini.

Beliau menyifatkan Francis masih keliru dengan perjuangannya itu apabila beliau menukar tujuan rapat umum yang pada dasarnya diadakan untuk meminta ketua menteri meletak jawatan tetapi kini beralih kepada ‘Berjalan untuk Demokrasi dan Reformasi’.

“Saya ingatkan MoCS dan Francis akan mengadakan rapat umum untuk meminta ketua menteri meletak jawatan tetapi kini bertukar kepada untuk demokrasi dan reformasi.

“Adalah lebih baik beliau mempunyai pendirian mengenai tujuan rapat umum itu. Jangan jadi seorang yang keliru dengan perjuangan sendiri,” katanya menerusi SMS kepada Utusan Borneo.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Negeri itu, Francis dan MoCS sepatutnya menukar tema rapat umum mereka itu kerana ketua menteri adalah sememangnya telah dipilih secara sah oleh rakyat.

“Kita tunggu dan lihat sama ada, ada atau tidak orang yang akan menyahut seruannya.

“Saya berasakan rakyat Sarawak bijak dan tidak mudah terpedaya dengan paria seperti Francis,” tegasnya.

Katanya, Francis masih lagi kabur dengan seruan rapat umumnya yang pertama tetapi kini cuba untuk membuat pindaan.