Tiada tolak ansur, kata Masing

0

KUCHING: Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana rapat umum termasuk yang diadakan oleh sebuah entiti haram, Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) pada 13 Ogos ini.

Ketika dihubungi semalam, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.

“MoCS merupakan sebuah entiti tidak sah. Justeru, rapat umum yang dicadangkan itu juga dianggap haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai MoCS yang diketuai oleh Francis Siah merancang mengadakan rapat umum di Kuching pada 13 Ogos ini bertemakan ‘Berjalan untuk Demokrasi dan Reformasi’.

Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah merancang untuk mengadakan perhimpunan bagi meminta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berundur.

Masing juga melahirkan keyakinan bahawa permit rapat umum itu tidak akan diluluskan.

“Kita tidak patut bertolak ansur mahupun berbincang atau berunding dengan pertubuhan haram,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Tan Sri William Mawan menyelar pertubuhan itu dan memberitahu ia bukan budaya di negeri ini.

“Ia bukan budaya kita dan tidak selaras dengan demokrasi Parlimen. Sekiranya anda percaya (kepada demokrasi), jadi kenapa anda berbuat demikian?,” katanya mempersoalkan.

Menurutnya, rapat umum itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan memperjudikan keselamatan negeri yang aman damai serta harmorni ini.

“Anda hanya akan mengundang masalah serta keganasan dan ini tidak baik untuk orang ramai.

Justeru, Mawan menyeru orang ramai untuk menjauhi rapat umum ini apatah lagi sekiranya ia haram, tanpa permit daripada pihak polis.

“Pastikan anda yang cintakan keamanan menjauhkan diri daripadanya, sama ada ia perhimpunan BERSIH mahu pun rapat umum MoCS,” katanya.