Kuching antara bandar raya paling bersih di rantau ini

1

KUCHING: Bandar raya ini merupakan antara bandar raya terbersih di rantau ini, kata Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohd Atei Abang Medaan.

Katanya, ia terbukti daripada maklum balas orang luar seperti khususnya pelancong dari Semenanjung Malaysia mahupun pelancong-pelancong luar negara.

“Kita mendapat maklum balas daripada pelancong-pelancong bahawa mereka memuji kebersihan bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pesta Bergendang dan Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik 2011, di sini, semalam.

Jelasnya, ia jelas membuktikan tahap kesedaran warga kota terhadap kebersihan bandar raya ini adalah tinggi.

“Usaha-usaha warga bandar raya ini boleh dipuji dan usaha mereka memberi imej yang baik untuk bandar raya ini,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menjaga kebersihan bandar raya ini, pihak DBKU sentiasa memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha berhubung penjagaan kebersihan.

Katanya, pihaknya memberi ganjaran serta sijil penghargaan seperti kepada kampung-kampung yang bersih di bandar raya ini.

“Saya sangat gembira dengan kerjasama penduduk kampung dalam menjaga kebersihan kampung sekali gus menjadikannya kawasan tarikan pelancong,” jelasnya.

Semalam, sempena Pesta Kuching 2011, DBKU mengadakan Pesta Bergendang dan Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik 2011.

Pertandingan tersebut diadakan di Teratak Sejiwa Senada dan berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Julai.

Tujuan utama Pesta Bergendang atau ‘Bermukun’ adalah untuk mempromosikan serta mengekalkan seni budaya tempatan khususnya di kalangan belia sekitar bandar raya Kuching.

Manakala untuk Pertandingan Lagu-lagu Patriotik, ia adalah untuk menyemai semangat cintakan negara sempena manyambut Bulan Kemerdekaan pada bulan Ogos depan.

Untuk Pertandingan Bergendang, johan disandang kumpulan Samudera Kenyalang dan untuk Pertandingan Lagu-lagu Patriotik, johan adalah Julisha Jeraie.

Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Turut hadir Pengarah DBKU Onn Abdullah.