Anak yatim mendengar buat kali pertama Kelab Rotary

0

Miri menderma peralatan bernilai RM4,000 kepada Mit Entaring

MIRI: Seorang anak yatim dari keluarga miskin dapat mendengar buat pertama kalinya dalam tempoh 48 tahun dengan bantuan Alat Bantu Dengar yang disumbangkan oleh Kelab Rotary Miri dan Gereja Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints.

Mit Entaring yang berasal dari Betong menerima alat bernilai RM4,000 itu semalam yang diserahkan oleh bekas Presiden Kelab Rotary David Sukh Dev Singh di pusat perubatan Miri City Medical Centre (MCMC).

“Kami telah dimaklumkan mengenai masalah Mit dan kami percaya beliau layak untuk mendapat bantuan kerana latar belakang keluarganya yang miskin dan dia juga merupakan seorang anak yatim,” jelasnya.

David memberitahu, sumbangan berjaya dikumpul dari orang awam dan projek tersebut adalah aktiviti amal mereka yang pertama pada tahun ini.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, kelab telah bersama menganjurkan projek kemasyarakatan di Long Semado dan Bario.

Mubaligh gereja, Sister Susan Lowe yang berjaya menemukan Mit memberitahu Mit mengalami pekak sejak dilahirkan dan turut mengalami masalah bibir sumbing dan lelangit merekah yang telah diperbetulkan dalam pembedahan yang ditaja oleh Persatuan Bibir Sumbing dan Bibir Merekah Malaysia (CLAPAM) dan Pusat Perubatan Columbia Asia pada bulan April lalu.

“Pembedahan seterusnya dijadualkan pada bulan November tahun ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Mit yang masih bujang, tidak pernah bersekolah dan tidak bekerja.

“Dia dijaga oleh kakaknya. Saya berterima kasih kepada kelab Rotary dan MCMC kerana membantu Mit mendengar semula,” jelasnya.

Hadir sama ialah Setiausaha Kehormat Kelab Rotary Miri, Dr Tarek Seddik, Presiden Kelab Innerwheel Miri Tiong Mee Na, empat mubaligh dari gereja diketuai oleh Sister Susan Lowe dan Ahli Audiologi Kanan MCMC Karen Lai Nyuk Ling.