Lahir graduan industri pelancongan

0

Pusat latihan, pengajian tinggi swasta khususnya harus bekerjasama dengan kerajaan

KUCHING: Pusat latihan atau pengajian tinggi swasta khususnya harus bekerjasama dengan kerajaan untuk melahirkan graduan bagi memenuhi industri pelancongan Sarawak.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan Datu Ik Pahon Joyik berkata, sokongan pelbagai pihak amat diperlukan untuk memperbaharui industri pelancongan negeri mahupun negara.

“Teruslah menyokong inisiatif kerajaan, jika setiap daripada kita dapat memberikan sumbangan, kita dapat membaharuinya.

“Semua penyedia latihan atau pendidikan tinggi seperti UCSI, NGO dan Persekutuan Persatuan Pelancongan dan Persatuan Pemandu Pelancongan Sarawak yang dapat berkumpul seperti ini boleh dianggap sebagai satu cerita kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil kepada lepasan Diploma Eksekutif Hospitaliti Pelancongan di UCSI University Kampus Sarawak Jalan Tun Jugah di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata lebih ramai lagi orang diperlukan dalam industri pelancongan di negeri ini.

Jelasnya, ia adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi dalam industri tersebut.

“Cabaran ini adalah usaha kita untuk mencapai apa yang dikehendaki kerajaan untuk menjadikan Sarawak destinasi perdana untuk pelancongan sama ada ekopelancongan, MICE mahupun pendi-dikan, perubatan,” jelasnya.

Pada masa yang sama Pahon memberitahu, usia tidak membataskan seseorang itu untuk belajar.

“Marilah kita meneruskan usaha, jika kita perlu menggunakan jalan yang jarang dilalui, kita gunakanlah…lebih banyak cabaran yang kita hadapi, lebih banyak yang kita pelajari,” ujarnya.

Dalam majlis itu seramai enam pelajar yang menerima sijil Diploma Eksekutif Hospitaliti Pelancongan ada di kalangan mereka sudah berusia dan berumah tangga.

Penerima sijil diploma itu ialah Lydia Kong Jer Siew, 26, Choo Chung Lin, 27, Merjory Michael Jenang, 47, Robert Kenneth Henry Ta-o, 46, Bong Choon Ring, 24 tahun.

Sementara itu, lima pelajar menerima sijil kelas bahasa Korea iaitu, Averil Rabi, Siti Khadijah Junaidi, Robiah Narudin, Sarah Yeo Kai Syuen dan Tang Geok Sieng.

Manakala sijil kelas bahasa Jepun pula diterima oleh Chen Ted Chuan, Kho Poh Hua, Ibrahim Chong Abdullah, Nicholas Chai, Audrey Nicholas dan Barbara Dunstan.

Hadir sama Pengarah Lanjutan UCSI Universituy Sarawak Gracie Giekie dan tetamu kehormat lain.