Suruhanjaya Diraja dapati Teoh Beng Hock bunuh diri

0

LAPORAN: Nazri Aziz menunjukkan buku Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai siasatan kematian Teoh Beng Hock di ruang legar Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur,semalam. — Gambar Bernama

Keputusan terkandung dalam laporan setebal 124 muka

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock mendapati kematian pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri.

Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya itu telah bersidang selama 50 hari mulai 14 Feb sehingga 10 Mei dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini.

Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Teoh membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Yong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam sidang akhbar mengenai laporan suruhanjaya itu di lobi Parlimen semalam berkata, hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati Teoh tidak dibunuh tetapi beliau berasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri.

Beliau berkata, fakta mengenai bunuh diri ini telah disokong oleh testimoni pakar psikiatri forensik, Prof Paul Edward Mullen yang telah diambil khidmat oleh Majlis Peguam Malaysia.

Mohamed Nazri berkata, Prof Mullen mengatakan Teoh benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakan yang telah bertukar daripada kumpulan berisiko terendah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi setelah melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan.

“Oleh itu Teoh Beng Hock bukan dibunuh oleh orang lain,” katanya.

Selain laporan Dr Mullen, suruhanjaya itu turut mengambil pendapat dan pandangan pakar psikiatri forensik iaitu Dr Badi’ah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali yang mewakili SPRM.

Menurut laporan suruhanjaya itu, kebarangkalian bahawa Teoh mengambil nyawanya sendiri dikaji mengikut sifat perwatakan dan perubahan minda daripada apa yang dijalaninya pada 15 dan 16 Julai 2009. — Bernama