Kenyah Sambop peroleh manfaat dari projek PUSAKA KTS Forests Plantation

0

CERAH MASA DEPAN: Ling memberi penerangan berkaitan projek kepada para penduduk rumah panjang. Turut kelihatan Simon (kiri).

BINTULU: Komuniti Kenyah Sambop di Long Simutut, Belaga, terutama generasi muda, akan memperoleh manfaat menerusi sokongan dan kerjasama terhadap projek terbaru PUSAKA KTS Forests Plantation, iaitu antara lain ialah peluang pekerjaan hasil projek penanaman pokok akasia yang bakal ditanam di kawasan terbabit.

Pengurus CDP Ling Kai Siew dari Grand Perfect Sdn Bhd yang mewakili PUSAKA KTS Forests Plantation Sdn Bhd (PKTS)ketika berucap pada majlis ‘Pelah Daleh’ diadakan di rumah panjang pada Sabtu lepas berkata, kejayaan projek itu akan memberi manfaat kepada para penduduk.

Katanya, syarikat terbabit telah mengadakan perjumpaan dengan wakil rumah panjang baru-baru ini berhubung projek dan memerlukan pembabitan komuniti di Uma Sambop serta memberi jaminan isu-isu yang bersangkut-paut akan diberi perhatian.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk rumah panjang berikutan sokongan dan kerjasama diberikan kepada syarikat berhubung projek.

“Jika ada masalah timbul berkaitan projek ia wajar dimaklumkan kepada kakitangan syarikat yang ditugaskan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata lagi, projek ini bukan baru memandangkan ia merupakan menyambung semula projek yang terhenti sebelum ini dan memberi jaminan penduduk tempatan akan diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan.

Justeru, Ling memberitahu bahawa sebarang permohonan kerja dan kekosongan jawatan akan dilakukan menerusi subkontraktor yang beroperasi di kawasan berkenaan dan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Sambop.

Proses permohonan yang turut membabitkan JKKK katanya, amat mustahak bagi mengelakkan sebarang salah faham pada masa depan.

“Saya memohon penduduk rumah panjang memberi kami kerjasama penuh, tidak ada perpecahan di kalangan penduduk.

“Mereka wajar bekerjasama sesama mereka agar kamidapat membawa manfaat bersama kepada mereka, dan mudah bagi syarikat membantu mereka,” katanya sambil menambah, JKKK harus melaksanakan peranan penting dalam menyatukan penduduk.

Ketua rumah panjang itu, Maren Uma Simon Abit ketika ditemui berkata, beliau gembira dengan usaha syarikat terbabit dalam membawa projek ke kawasan itu, dengan menaruh harapan tinggi projek itu mampu memberi faedah daripada aspek sosial dan ekonomi.

“Upacara ini (pelah daleh) hari ini ialah untuk menandatangani perjanjian oleh kami bagi memberi kebenaran melaksanakan projek.

“Saya berharap syarikat akan mengotakan janji dan memberi bantuan tertentu ketika kami memerlukan.

“Mulai sekarang kami dalam satu kumpulan dan jika kami tidak mampu bersatu ia akan menyukarkan pelaksanaan projek,” kata Simon.

Katanya, sebagai sebuah keluarga, para penduduk dan syarikat terbabit wajar sering berhubung dan apa jua peluang pekerjaan perlu diberikan kepada penduduk tempatan berdasarkan kelayakan.

Rumah panjang 86 pintu itu dibina semula pada 1970 dengan bilangan penghuni lebih 1,000 orang.

Di kawasan berhampiran terdapat sebuah sekolah rendah dengan 200 orang murid.

Kebanyakan penduduk merupakan petani dan ada belia yang bekerja dengan syarikat pembalakan di kawasan berhampiran.

Mengenai pembangunan di kawasan terbabit, Simon berterima kasih dengan kerajaan krana membina jalan yang menghubungkan penempatan mereka dengan dunia luar, terutama Bintulu dan Sungai Asap.

Katanya, meskipun keadaan jalan tersebut kurang memuaskan tetapi ia diakui memberi kemudahan kepada para penduduk dalam melakukan pelbagai urusan di bandar.

“Hanya ada beberapa rumah panjang di Belaga sebelum ini kerana tidak wujud jalan ke bandar.

“Kami terpaksa berjalan kaki yang perjalanannya mengambil masa beberapa minggu untuk tiba ke destinasi.

“Kami juga terpaksa membina pondok sementara untuk tidur di sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau berkata lagi, penduduk di Uma Sambop masih ketinggalan dari aspek pembangunan.

Sehingga hari ini mereka belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam.

Tenaga elektrik mereka dijana oleh jana kuasa (generator), manakala bekalan air dari punca graviti.

Sementara itu, seorang penduduk yang bekerja sebagai petani, Clement Anggang, 49, mengalu-alukan kedatangan PUSAKA KTS ke kawasan tersebut.

Beliau berharap wujud situasi menang-menang antara syarikat dan penduduk rumah panjang dalam projek itu.

Beliau turut berharap peluang pekerjaan diberi kepada penduduk tempatan dan syarikat akan melaksanakan amalan dan pendekatan terbaik dalam usaha meminimumkan kesan projek terhadap penghidupan mereka.

Clement berkata, projek terbabit dan projek lain yang dilaksanakan di kawasan berhampiran harus mampu memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan mereka mempunyai hak untuk menikmati pembangunan.

PKTS merupakan syarikat kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan KTS Holdings Sdn Bhd.