STU tegur kerajaan ‘kedekut’

2

Kementerian perlu timbang peruntukan lebih jika mahu tingkat prestasi sekolah, pelajar
MIRI: Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan lebih banyak peruntukan kepada sekolah khususnya di Sarawak bagi memastikan sekolah itu dapat ditadbir dengan baik sekali gus meningkatkan prestasi pelajar.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Gani Bina berkata, kementerian kerap menyeru dan mendesak guru-guru dan pihak sekolah melakukan yang ter- baik untuk kecemerlangan dalam akademik, namun ‘kedekut’ dalam memberi  peruntukan.

“Mereka (kementerian) mahukan sekolah itu cemerlang, sedangkan duit tidak beri. Bagaimana sekolah dapat ditadbir dan diurus dengan baik sekiranya kementerian tidak memberi peruntukan yang mencukupi?,” katanya semasa sesi Dialog Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Bahagian Miri di Pustaka Miri semalam.

Ujarnya, sekolah merupakan perkara asas di dunia dan sangat kompleks berbanding mana-mana isu lain di muka bumi.

“Kementerian harus menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada sekolah-sekolah tanpa mengira sama ada kita negara miskin atau kaya. Hanya melalui peruntukan yang mencukupi, barulah sekolah itu dapat diuruskan dengan berkesan dan mencapai prestasi cemerlang seperti yang dihendaki,” katanya.

Ujarnya, Sarawak mempunyai 1,266 sekolah rendah dan 179 sekolah menengah dengan jumlah guru seramai 25,000 mengajar di sekolah rendah manakala 15,000 di sekolah menengah.

“Jumlah pelajar besar, jumlah sekolah besar, jumlah ibu bapa pun besar, bukan senang untuk menguruskan sekolah-sekolah di Sarawak. Banyak yang perlu diutamakan untuk memastikan sekolah ini dapat bersaing.

“Tiga perkara utama itu ialah pentadbiran, perasaan bersama dan kepunyaan terhadap sekolah. Sekiranya ketiga-tiga aspek ini diberi tumpuan, barulah sekolah     kita dapat cemerlang,” kata-nya.

Dalam perkembangan lain, William Gani berkata negara ini harus mencontohi negara seperti China dan Jepun yang menggunakan pakar pendidikan dalam menentukan dasar pendidikan negara.

“Peliknya, kita di sini menggunakan ahli politik dan parti dalam menentukan dasar pendidikan. Maknanya, parti politik tertentu yang menentukan dasar pendidikan yang disukai,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah, sebagai contoh dasar pendidikan yang tidak mengutamakan pembelajaran bahasa Inggeris me-nyebabkan pelajar sukar untuk menguasai kemahiran bahasa itu menyebabkan mereka gagal mendapat peluang pekerjaan yang baik.