Polis Kenalpasti Sindiket Dadah Antarabangsa Guna Laut

1

TAWAU: Pihak polis telah mengenalpasti sindiket-sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan daerah Tawau sebagai transit penyeludupan dadah melalui jalan keluar-masuk di daerah ini menerusi laut ke Nunukan, Kalimantan.

PENGHARGAAN… Widoratno menerima penghargaan daripada PDRM Tawau yang disampaikan oleh Ibrahim sempena Kempen Pencegahan Jenayah Peringkat Daerah di IPD Tawau kelmarin.

Ketua Polis Daerah, ACP Ibrahim Chin mengesahkan bahawa polis Malaysia dan Indonesia sering berkongsi maklumat berhubung modus operandi sindiket terbabit, namun enggan mengulas mengenai lokasi asal pangkalan sindiket berkenaan beroperasi.

“Tidak dinafikan, dari segi kedudukan geografinya yang strategik, Tawau memang menjadi sasaran sindiket dadah untuk menjadikan daerah ini sebagai transit mereka,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Kempen Pencegahan Jenayah di sini kelmarin.

Ibrahim berkata, pemerhatian sedang berjalan melibatkan kerjasama di antara polis daerah dan Bukit Aman, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI), polis Indonesia serta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, beliau berkata sindiket terbabit masuk ke Sabah ataupun daerah ini melalui Filipina dan Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan untuk memasuki Indonesia menerusi jalan laut dari Tawau.

“Bekalan dadah itu ada yang berasal dari Timur Tengah seperti Iran dan sebagainya,” ujarnya dalam majlis yang dihadiri oleh KJRI Tawau, Widoratno Rahendra Djaya dan Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Esther Dingkawan.

Widoratno mendedahkan sehingga bulan ini polis Nunukan telah empat kali mematahkan cubaan penyeludupan dadah dari Tawau, dan tangkapan terbesar setakat ini melibatkan penahanan seorang warga Indonesia yang membawa heroin seberat 1.4 kilogram.

Tambahnya, kerjasama erat Malaysia-Indonesia juga turut membabitkan soal penghantaran penyeludup yang ditangkap sama ada di Malaysia atau Indonesia dan akan diekstradisi ke negara asal masing-masing.

Mengulas mengenai isu berlainan, Widoratno mengingatkan kira-kira 50,000 warga Indonesia di Tawau supaya tidak menunggu saat-saat akhir untuk melakukan pendaftaran dalam Program 5P – Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

“Kita berharap pendaftaran oleh pekerja-pekerja Indonesia di daerah ini khususnya di dalam Program 5P ini boleh dioptimumkan dengan adanya kerjasama daripada majikan, orang awam dan media massa agar program ini boleh berjaya,” katanya.

Tambahnya, para pekerja warga Indonesia diminta supaya tidak menunggu saat-saat akhir untuk melakukan pendaftaran bagi mengelakkan kesesakan pada hari terakhir Program 5P berlangsung.