Polis selesai 476 kes jenayah

0

TAWAU: Sebanyak 1, 538 kes jenayah keseluruhan direkodkan oleh pihak polis di daerah ini dari tahun 2009 hingga Julai 2011 dan daripada jumlah itu sebanyak 476 kes jenayah diklasifikasikan sebagai selesai.

DEMONSTRASI... Sepasukan polis menunjukkan demonstrasi penahanan dua peragut yang menunggang motosikal oleh pasukan peronda MPV.

Ketua Polis Daerah, ACP Ibrahim Chin berkata sebanyak 513 kes jenayah dilaporkan berlaku pada tahun 2009 dan penyelesaian kes pula adalah sebanyak 129 buah kes, manakala pada tahun 2010 pula 617 kes jenayah dicatatkan dengan 211 kes selesai.

“Statistik dari 1 Januari tahun ini hingga 22 Julai menunjukkan sebanyak 136 kes selesai daripada 402 kes jenayah dilaporkan,” katanya semasa berucap pada Kempen Kesedaran Jenayah Peringkat Daerah Tawau di sini kelmarin.

Mengulas mengenai isu berkaitan, Ibrahim berkata penubuhan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan pasukan sukarela yang lain di daerah ini adalah sejajar dengan matlamat pasukan polis untuk mengurangkan kadar jenayah daripada terus berleluasa.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Esther Dingkawan berkata kewujudan SRS di negeri ini didorong oleh permintaan penduduk di sesebuah Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“SRS ditubuhkan bagi membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial, membantu menguatkuasakan undang-undang, memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda, mempertingkatkan semangat kejiranan dan memulihkan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera,” katanya.

Menjawab soalan berhubung rasional di sebalik penubuhan SRS di sesebuah kawasan penempatan namun kehadirannya seperti tidak memberikan implikasi menyakinkan, Esther berkata tanggungjawab mencegah jenayah tidak digalas oleh SRS sahaja.

“Rondaan adakalanya dijalankan hanya dua kali seminggu dan ini bergantung kepada kelapangan masa oleh para sukarelawan itu sendiri,” katanya semasa sidang media di IPD Tawau di sini kelmarin.

Menurutnya, para ahli sukarelawan SRS tidak dapat mengadakan rondaan setiap hari ataupun setiap malam kerana memiliki komitmen lain memandangkan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai kakitangan awam dan swasta serta sebagainya.

Tambahnya, terdapat sebanyak 484 KRT dan 150 KRS direkodkan di negeri ini, manakala bilangan KRT di daerah ini pula adalah sebanyak 31 buah dan 14 KRS.