PPP akan letak calon Bebas jika tidak diberi kerusi oleh BN Negeri

0

KUCHING: Parti Progresif Penduduk (PPP) akan meletakkan calon Bebas pada Pilihan Raya Umum kelak jika tidak mendapat agihan kerusi daripada Barisan Nasional (BN) Negeri.

Presidennya, Datuk Seri M. Kayveas berkata parti tersebut akan meletakkan calon di kawasan dimenangi parti-parti pembangkang yang sukar untuk dikuasai parti komponen BN Negeri. Kawasan berkenaan belum dimuktamadkan.

“Kita (PPP) sudah bersedia untuk itu (bertanding) dan jika BN Negeri tidak menerima kami akan teruskan juga,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, malam kelmarin.

M. Kayveas juga mengulangi pendirian ketika menghadiri Program Khidmat Komuniti PPP di Kota Sentosa, semalam.

Menurut beliau, parti pimpinannya kini mulai diterima di Sarawak dan berkata:

“Mereka agak malu untuk menerima kehadiran kami (PPP) secara langsung.”

PPP Sarawak diketuai oleh pengerusinya, John Lau.

Parti yang ditubuhkan di Semenanjung itu kini mempunyai 72 cawangan dengan sebuah ibu pejabat.

Daripada jumlah itu, 13 Cawangan telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ia merangkumi Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kawah, Bengoh, Dudong, Sibu dan Meradong.

Katanya, PPP merupakan parti pelbagai kaum dan beliau mendakwa ia lebih diterima di kalangan masyarakat Cina berbanding MCA dan Gerakan di Semenanjung Malaysia.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan akan berupaya memainkan peranan seperti dilakukan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Sambil meminta agar kemasukan PPP diterima baik oleh pemimpin BN Negeri, beliau berkata, amat rugi jika undi daripada para ahli PPP yang menyokong BN ditolak oleh pemimpin BN Negeri.

Beliau turut menolak dakwaan kemasukan PPP adalah satu langkah awal bagi UMNO menyusul tindakan tersebut.

“Kita masuk ke sini tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kalau PAS boleh datang, PKR boleh datang, mengapa PPP tidak boleh?

“Musuh (parti-parti pembangkang) datang ia (BN Negeri) boleh terima, sahabat datang ia mahu halau,” katanya.

Malah, kelulusan pendaftaran cawangan PPP di Sarawak tidak wajar dikaitkan dengan restu daripada pucuk pimpinan kerajaan Persekutuan.

“Berapa banyak cawangan hendak ditubuhkan ia terpulang kepada PPP kerana jika ROS menghalang ia boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau mengulangi BN negeri dan pusat telah dimaklumkan mengenai hasrat parti untuk membuka cawangan di Sarawak sejak sekian lama.

“Kami tidak ada menerima sebarang maklum balas daripada BN negeri,” katanya.