Tra Zehnder meninggal dunia

0

Tokoh wanita, perintis politik S’wak meninggal dunia selepas alami komplikasi kesihatan

PILU: Cynthia (dua kanan) menatap wajah mendiang ibunya, Tra (gambar kecil) di kediaman mereka di Petra Jaya, Kuching, semalam.

KUCHING: Tokoh wanita juga perintis politik di Sarawak, Dato Sri Tra Zehnder meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Umum Sarawak sekitar jam 9.30 malam, semalam (Jumaat) selepas mengalami komplikasi kesihatan.

Tra atau nama sebenarnya Philomena Tra Jemat yang lahir pada 25 Oktober di Miri merupakan anak kepada Inting Jemat dan Sara Unang, Iban berasal dari bahagian Sri Aman.

Tra meninggalkan enam orang anak iaitu Hugh Lawrence Zehnder, Cynthia Maria Zehnder, Charles Augustine Zehnder, Philip Gerard Zehnder, Roza Zehnder dan Zoe Zehnder serta 17 orang cucu. Sementara seorang lagi anak beliau, John David Zehnder telah meninggal dunia sekitar 1980-an.

Mendiang merupakan seorang yang serba boleh iaitu sebagai seorang peneroka dan pengasas, pemimpin dalam bidang politik dan kerja amal dan seorang penegak hak kemanusiaan.

Beliau merupakan seorang daripada pengasas Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) pada Mei 1957 dan wanita pertama dilantik menganggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak dari 1960 hingga 1963.

Tra semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri telah menyumbang kepada pembentukan Malaysia melalui peranan beliau sebagai wakil Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Bukan itu sahaja, beliau melibatkan diri dalam pertemuan Cobbold Commission pada Februari 1962 dengan Inter-Goverment Committe yang dipengerusikan Lord Landsdown pada Ogos 1962 dan seterusnya dengan pasukan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1963.

Beliau pernah menerima Anugerah Tokoh 1Malaysia-Tokoh Kemerdekaan sempena sambutan Hari Malaysia pada 10 Oktober 2009.

Beliau juga wanita Iban pertama dilantik sebagai temenggung di Kuching pada 1988 dan berkhidmat sehingga 1996.

Tra Zehnder juga merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak pada Mac 1996 selain bergiat aktif dengan kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang kepada usaha meningkatkan kebajikan dan keselesaan pelbagai golongan masyarakat termasuk juvana, pelajar dan wanita.

Tokoh ini juga pernah berkecimpung dalam kempimpinan parti politik di negeri ini termasuk sebagai pengerusi Sayap Wanita Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dari 1969 hingga 1983 dan pengerusi serta pengasas sayap wanita Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang ditubuhkan selepas berpisah daripada SNAP pada 1983. Beliau memegang jawatan itu sehingga 1988.

Pada Disember tahun lepas, Tra menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib sempena sambutan Hari Wanita Sarawak 2010 yang merupakan penjenamaan semula bagi Anugerah Tokoh Wanita sebelum ini.

Bukan itu sahaja, malahan kisah hidup, sumbangan dan penglibatan politik mendiang turut adaptasikan melalui pelancaran buku bertajuk ‘Tra Zehnder: Tokoh Wanita Iban Sarawak’ yang dihasilkan oleh dua penulis iaitu Profesor Madya Hew Cheng Sim daripada Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Profesor Rokiah Talib, pesara pensyarah Universiti Malaya dan kini menjadi Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anak mendiang,  Cynthia ketika ditemui pemberita semalam menyifatkan ibunya seorang srikandi yang berjuang sehingga ke akhir hayatnya.

Sementara cucunya James Mambuzehnder, 25 yang merupakan anak kepada Lawrence berkata ia merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi masyarakat.

Jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu, mendiang seorang wanita kuat dan membanggakan kerana turut mencipta nama dalam sejarah negeri Sarawak.

“Tahun lepas saya tinggal dengan mendiang selama empat bulan dan ia satu kenangan yang amat bermakna,” kata pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu.

James berkata antara kata-kata nasihat yang tidak akan dilupakan daripada mendiang, agar menyimpan wang kerana ia amat penting untuk masa depan.