Koperasi Kariah Masjid bantu bangunkan SCORE

0

TERIMA KASIH: Ali Baharum (dua kiri) menyampaikan tanda penghargaan kepada Rohani (dua kanan). Turut kelihatan ialah Abang Samsudin (kiri) dan Annuar.

Ia boleh mewujudkan pekerjaan, maju Zon Halal: Rohani

SIBU: Penglibatan Koperasi Kariah Masjid di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan memberi impak tinggi terutamanya mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang kebanyakkan terdiri daripada orang Islam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, Koperasi Kariah Masjid boleh bergabung dan membantu kerajaan membangunkan Zon Halal di Tanjung Manis di bawah SCORE.

“Koperasi Kariah Masjid ini yang akan menjadi mentor dan perintis dalam melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi. Adalah difahamkan kesemua 13 buah Koperasi Kariah Masjid akan bermula dengan aktiviti pemborongan dan peruncitan dengan menjurus kepada pembekalan produk halal,” jelasnya.

Rohani berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar dan Bengkel Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Sarawak Zon Tengah yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Seramai 200 ahli jawatankuasa masjid dari Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit menghadiri seminar anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak dan Jabatan Agama Islam (JAIS) Negeri Sarawak.

Katanya lagi, kerjasama antara anggota kariah dan masjid merupakan platform untuk mengatasi masalah produk halal.

“Jika masjid mampu berperanan sedemikian, institusi masjid akan lebih dirasai sebagai institusi yang menyumbang kepada keperluan kehidupan harian orang Islam.

“Ia sekali gus memecah tembok kefahaman yang memisahkan di antara kehidupan seharian dengan amalan agama,” ujar beliau.

Menurut Rohani, JAIS Negeri Sarawak dan SKM Negeri Sarawak sedang merangka program menubuhkan 13 buah Koperasi Kariah Masjid daripada 356 buah masjid di Sarawak pada tahun 2011.

Sejajar program mengkoperasikan masyarakat di negeri Sarawak, SKM telah mensasarkan sebanyak 1,000 buah koperasi ditubuhkan menjelang tahun 2013.

“Pertumbuhan yang pesat ini bukan sekadar membantu meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan bahkan mampu menyediakan pinjaman mikro kepada ahlinya supaya dapat dijadikan modal perniagaan dan secawa tidak langsung mewujudkan usahawan koperasi,” katanya.

Ujar beliau, untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengkoperasikan masyarakat, maka wujudlah program Satu Koperasi Satu Komuniti (1K1K) dengan objektif jangka panjang supaya dapat membasmikan kemiskinan selaras dengan kehendak Dasar Koperasi Negara 2002-2010 yang lalu dan seterusnya menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2013.

“Sektor koperasi kini adalah merupakan sektor perniagaan yang begitu besar. Saya difahamkan sehingga Disember 2010 bilangan koperasi berdaftar di Sarawak adalah sebanyak 658 buah dengan bilangan anggota seramai 320,512 orang.

“Modal syer terkumpul RM134.7 juta dan jumlah aset terkumpul RM331.32 juta. Manakala pusingan perniagaan adalah sebanyak RM176.02 juta. Perangkaan ini menunjukkan Gerakan Koperasi di Sarawak mempunyai kekuatan dari segi keanggotaan dan modal yang boleh digembelengkan secara bersama melalui pelbagai bentuk kerjasama antara mereka,” jelas Rohani.

Objektif penganjuran seminar bertujuan memperkukuhkan ekonomi, sosial dan budaya anggota qariah masjid melalui pelbagai aktiviti ekonomi perniagaan dan kemasyarakatan di samping mewujudkan pelbagai tabung-tabung untuk faedah kariah dan masjid.

Hadir sama pada majlis itu ialah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr. Annuar Rapaee; Presiden dan Timbalan Presiden ANGKASA, Profesor Datuk Dr. Mohd Ali Baharum dan Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengarah JAIS Negeri, Abang Samsudin Abang Seruji dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan SKM Negeri, Osman Ismail.