Mafia ceroboh hutan di Asia memburu hidupan liar

0

Aktiviti yang lebih selamat dengan nilai US$20 bilion

NEW DELHI: Kumpulan penjenayah yang pada satu ketika berkembang menerusi penyeludupan dadah dan senjata api, kini bertukar kepada aktiviti menyeludup hidupan liar yang dilihat lebih selamat dan menguntungkan.

Pakar hidupan liar merumuskan kegiatan itu sebagai jenayah merentasi sempadan dengan nilai industri US$20 bilion (RM60 bilion), sekali gus mendorong pembabitan orang kampung dan penjenayah profesional.

“Ini satu titik pertemuan iaitu daripada penyeludupan senjata api kepada pemerdagangan manusia dan sekarang berpindah kepada hidupan liar. Pilihan yang lebih ‘lembut’ namun menguntungkan,” kata Samir Sinha, ketua Traffic India, iaitu agensi pemantau hidupan liar, kepada Bernama.

Aktivis hidupan liar bimbang jenayah itu yang kini berleluasa merentasi dunia akan ‘membersihkan’ hutan di Asia daripada spesies yang sesetengahnya berdepan kepupusan, jika kegiatan tersebut tidak dihalang.

Spesies yang diancam bahaya seperti kongkang Indonesia, kura-kura bintang dan harimau di India, penyu dan buaya kecil dari Bangladesh, tutung di Malaysia serta cicak Filipina kini mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap antarabangsa.

Penangkapan rakyat Malaysia Anson Wong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana cuba menyeludup keluar 97 ekor ular dan penyu ke Jakarta pada Ogos lepas mendedahkan kegiatan yang berleluasa di seluruh dunia itu.

Penguatkuasaan sambil lewa, sempadan yang mudah dilolosi, kemiskinan di kawasan luar bandar serta permintaan tinggi di pasaran, merancakkan kegiatan itu dengan penyeludup semakin berani membawa hidupan liar menerusi penerbangan antarabangsa.

“Bangladesh selalu digunakan sebagai pusat transit untuk kegiatan ini yang mana kebanyakan haiwan menuju ke negara di Asia Tenggara. Kami cuba membendung namun sukar kerana kegiatan melibatkan sindiket antarabangsa,” kata Dr Tapan Kumar Dey dari Jabatan Perhutanan Bangladesh kepada Bernama.

Primat yang diseludup lazimnya ke Asia Timur, Asia Barat atau negara barat dan dijadikan makanan eksotik dengan harga yang tinggi, atau digunakan sebagai bahan dalam ubat tradisional.

Sebagai contoh, alat kelamin harimau jantan yang popular sebagai peningkat daya seksual boleh mencecah US$2,000 (RM6,000) setiap satu, sementara kongkang Indonesia pula yang diguna untuk ubat asma berharga sekitar US$20 (RM60).

Selain itu, sesetengah haiwan pula dikurung dalam kandang dan dipamer di ruang tamu sebagai trofi kemewahan hidup.

“Jenayah hidupan liar ini bahaya tetapi tidak dilihat seperti jenayah terancang yang lain. Sudah tiba masanya kegiatan ini dianggap sebagai satu lagi jenayah rentas sempadan kerana ia sudah sampai pada tahap mengancam spesies yang menjadi ikon,” kata Sinha. — Bernama