15 warga Indonesia nyaris maut bot karam dipukul ribut

0

PELABUHAN KLANG: Hari pertama puasa pada Isnin lepas tidak akan dilupakan oleh 15 warganegara Indonesia apabila kesemua mereka nyaris maut selepas bot yang dinaiki karam dipukul ribut.

Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim 4 Pelabuhan Klang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Mohd Amir Hamzah berkata, kesemua mereka berdepan dengan detik mencemaskan apabila bot yang dinaiki karam, 17 batu nautika dari Pulau Jarak, pada jam 11 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian bot ‘Anugerah Rezeki’ itu dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia, menuju ke Satun, Thailand, untuk menghantar bekalan belacan seberat 276,000 kilogram bernilai RM117,000.

“Kesemua mangsa ber-usia antara 30 dan 50 tahun itu diselamatkan oleh dua buah kapal tunda yang kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini se-malam.

Mohd Amir berkata, kesemua mereka diselamatkan oleh kapal tunda Atlantic Gulf yang membawa mangsa sebelum memindahkan mereka ke sebuah lagi bot tunda dikenali Mas Indera 7 yang dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan berhu-bung kejadian itu pada jam 9.30 pagi semalam, dua buah bot APMM dihantar untuk mengambil kesemua mangsa dari bot Mas Indera di per-airan Sekinchan.

“Kesemua mangsa dibawa pulang ke Jeti Jabatan Laut Wilayah Tengah kira-kira jam 12.30 tengah hari ini (semalam) dan mereka berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami kecedera-an,” katanya.

Mohd Amir berkata, kese-mua mangsa terbabit dise-rahkan kepada ejen bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

Kapten bot yang tenggelam itu, Affendi Sharil, 47, ketika menceritakan detik-detik cemas kejadian berkata, dalam sekelip mata air mula memasuki bot terbabit dan semua mereka memakai baju keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk terapung di tengah laut.

“Syukur kerana tiba-tiba saya terlihat satu cahaya dari jauh yang datang menuju ke arah bot kami iaitu kapal tunda yang menyelamatkan kami sebelum bot kami karam,” katanya. — Bernama