Wednesday, August 12

Nik Aziz nafi hidap kanser tetapi ada masalah jantung

0

KOTA BAHARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau menghidap penyakit kanser seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tetapi mengesahkan yang beliau kini menghadapi masalah saluran jantung tersumbat yang membatasi pergerakan hariannya.

“Kesihatan saya tak ada apa. Dakwaan itu tak betul…mengarut saja. Saya hanya (hadapi masalah) ada tiga saluran jantung yang tersumbat.

“Cuma dalam rawatan saya terbaru di hospital tiga bulan sekali, saya tanya doktor pada musim durian begini kolesterol saya tak tinggi, saya pun pelik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Portal berkenaan, www.kelatekito.net dilapor menyebut keadaan kesihatan Nik Aziz semakin serius di mana beliau dikatakan disahkan menghidap sejenis barah.

Laporan itu juga menyebut, masalah kesihatan Nik Aziz itu telah disahkan oleh sekumpulan pakar yang merawatnya ketika dimasukkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa hari sebelum berlangsungnya Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Ha-shim, yang mencabarnya supaya membuat kenya-taan terbuka menafikan pertemuannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung isu mempelawa anggota Parlimen Gua Musang itu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, Nik Aziz enggan mengulas lanjut sambil menyifatkan Zahrain sebagai ‘sampah’.

“Dia tak kenal saya, saya tak kenal dia, orang yang lompat macam ini seperti sampah,” katanya. — Bernama