PENAMPANG: Tujuh lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu yang dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di jalan Kota Kinabalu-Putatan dan Putatan-Kota Kinabalu di sini awal pagi kelmarin.
Dalam operasi yang bermula dari jam 11.30 malam hingga 2.30 pagi itu, seramai 74 lelaki berusia 20an hingga 40an telah diperiksa air kencing mereka di mana tujuh daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.
Selain itu, seorang lelaki yang berusia 20an turut ditahan selepas didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis syabu di dalam kenderaannya.
Sementara itu juga, sebanyak 31 keping saman dikeluarkan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Sing yang mengetuai operasi itu berkata seramai empat pegawai bersama 32 anggota daripada bahagian trafik, narkotik dan jenayah telah terlibat dalam operasi bersepadu berkenaan.
“Kita akan meneruskan operasi sedemikian dari masa ke semasa demi membanteras kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya.