Ada petani miskin enggan terima bantuan berbentuk jentera, mesin: Sabry

0

KANGAR: Ada dalam kalangan petani yang dikategori sebagai miskin di Perlis menolak bantuan peralatan seperti jentera dan mesin yang disediakan kerajaan bagi memperbaiki taraf hidup mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis Sabry Ahmad berkata, mereka sebaliknya lebih bersedia menerima bantuan berbentuk kewangan kerana mudah dibelanjakan berbanding peralatan pertanian.

Berucap pada majlis penyerahan bengkel memproses produk industri asas tani dan bantuan program Azam Tani 2011 kepada petani kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Arau semalam, beliau berkata, sikap itu merugikan petani sendiri.

Sabry berkata, bancian petani miskin di kawasan MADA di Perlis mendapati sejumlah 430 ketua keluarga layak mendapat bantuan itu, namun selepas tawaran dibuat, hanya 284 yang mahu menerimanya.

Antara peralatan yang ditawarkan ialah jentera pertanian pelbagai jenis, mesin jahit dan peralatan membuat kuih-muih kering serta basah.

Sabry berkata, bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat dan buat permulaan, sejumlah 100 petani akan menerimanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung masa depan petani yang menolak bantuan itu.

“Usaha mendekati kumpulan tegar yang enggan menerima bantuan itu akan dilakukan oleh MADA supaya mereka dapat diberi kesedaran betapa kerajaan sentiasa mahu membela nasib mereka,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan geran RM15,000 membina bengkel projek industri asas tani kepada 10 petani, manakala 10 lagi menerima peralatan seperti jentera pembajak dua roda, mesin rumput, mesin penyembur racun dan penyembur benih padi.

Hadir sama Pengurus Mada Wilayah 1 Perlis Roslan Abdul Ghani Ahmad. — Bernama