Kek Lapis Sarawak ‘jatuh’

7

PERJELAS: Rabiah (depan, empat kiri) dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah (depan, tiga kiri) memperjelaskan mengenai status halal Kek Lapis Sarawak pada sidang media di Kuching, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

Tanggapan negatif dakwa guna Golden Churn punca jualan merudum

BUKTI: Rabiah memegang dua jenis mentega iaitu Butter Lite dan Anchor Golden Fern yang digunakan oleh ahli PPKLS untuk membuat kek lapis.

KUCHING: Persepsi ne- gatif mengatakan Kek Lapis Sarawak dibuat menggunakan bahan tidak halal iaitu mentega Golden Churn te-lah menyebabkan jualannya merudum.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit yang mendedahkan lazimnya 20 hari sebelum Hari Raya ahli-ahlinya tidak lagi menerima tempahan tetapi kali ini pada hari kelapan berpuasa tempahan masih tidak menggalakkan.

“Perbezaan keuntungan kami (pengusaha-pengusaha kek lapis) memang jauh berbanding semasa musim pe-rayaan sebelum ini, sekarang kita hanya memperoleh satu suku daripada tempahan.

“Kalau dulu dalam tempoh seperti ini kita dah tak terima tempahan lagi…dah tak larat,” katanya sambil menambah semasa Hari Raya tahun lepas seorang pengusaha boleh mendapat pulangan kira-kira RM600,000.

Pada tahun lepas sahaja produk Kek Lapis Sarawak telah menjana sebanyak RM6.5 juta nilai jualan yang direkodkan oleh 38 pengusaha kek lapis yang berdaftar di bawah Bahagian Industri Asas Tani dan Makanan Jabatan Pertanian Sarawak.

Lebih menyedihkan Ra-biah berkata, ramai pembeli membatalkan tempahan me-reka kerana tidak yakin lagi dengan kek lapis yang dikeluarkan oleh PPKLS termasuk dikeluarkan oleh syarikatnya Rabiah Amit Cake House.

“Hakikatnya kami sudah lama tidak menggunakan mentega Golden Churn, pertama kerana harganya sangat mahal berbanding mentega setanding kualitinya seperti Butter Lite dan Anchor Golden Fern, yang kita gunakan sekarang.

“Malah kita telah pun melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut ajaran Islam iaitu samak, sebaik dimaklumkan Golden Churn tidak halal di Johor dulu walaupun ketika itu kita sudah tidak lagi menggunakan mentega tersebut,” katanya pada satu sidang media semalam.

Beliau juga kecewa kerana penjelasan demi penjelasan yang dibuat mengenai status kek lapis terutama dikeluarkan ahli-ahli PPKLS masih ada pihak yang tidak yakin.

“Kami amat terkilan ke-napa kek lapis yang menjadi sasaran sedangkan tidak semua Kek Lapis Sarawak dibuat menggunakan men-tega Golden Churn… ini telah menjejaskan pendapatan kami,” luahnya.

Menceritakan pengalaman pahit yang terpaksa dihadapi PPKLS Rabiah memberitahu beberapa hari lepas seorang pengedar kek lapis di Selangor yang dikeluarkan oleh PPKLS mengadu seorang pe-gawai penguat kuasa Islam di sana yang bergelar ‘Haji’ menggelar Kek Lapis Sarawak sebagai ‘kek lapis babi’.

“Menurutnya kek yang dijual di kedainya telah dirampas dan jika terdapat DNA babi pada kek itu dia boleh dipenjara selama tiga tahun. Beliau sangat bingung kerana telah menempah banyak kek untuk dijual menjelang perayaan Hari Raya ini.

“Namun syukur setelah saya menghantar semua salinan sijil-sijil termasuk ‘Sarawak Best’ yang telah disahkan kepadanya menerusi mesin faks dan masalah itu selesai dan keadaan kembali seperti biasa,” katanya.

Secara peribadi, Rabiah memberitahu ini adalah kali kedua beliau berdepan cabaran getir seperti itu selepas insiden kebakaran pada Oktober 2008 memusnahkan sama sekali kedai kek lapisnya menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM300,000.

“Saya cukup terkilan kenapa hanya kek lapis yang menjadi sasaran,” katanya.

Menurutnya lagi Rabiah memberitahu ketika ini PPKLS mempunyai 75 ahli berdaftar di seluruh Sarawak manakala tidak berdaftar dianggarkan lebih 200 orang.