Mun Yee tidak patah semangat layak ke London 2012

0

LEONG MUN YEE

SHENZHEN, China: Kegagalan mendapat tiket kelayakan ke Olimpik London 2012 menerusi Kejohanan Dunia di Shanghai, China baru-baru ini tidak mematahkan semangat atlet terjun negara, Leong Mun Yee yang ingin merebut peluang terakhir di Kejohanan Dunia di London pada Februari tahun depan.

Mun Yee, 27, berkata buat masa sekarang beliau hanya ingin menjalani latihan seperti biasa dan belum bersedia untuk menerima tekanan setelah gagal di Shanghai.

“Saya agak tertekan apabila gagal layak ke Olimpik sedangkan rakan sepasukan Pandelela Renong telah mendapat kelayakan tersebut.

“Untuk masa akan datang saya akan cuba mengurangkan kesilapan terutama apabila beraksi Kejohanan Dunia di London pada Februari tahun depan,” katanya kepada Bernama semalam.

Pada kejohanan Dunia di Shanghai baru-baru ini, Pandelela Renong dan Bryan Nickson Lomas mendapat kelayakan awal ke temasya Sukan Olimpik London 2012.

Mun Yee berkata dalam jangka masa terdekat ini beliau tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menyertai sebarang kejohanan selain daripada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 di Shenzhen dari 12-24 Ogos.

Mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata beliau tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat di Shenzhen memandangkan ramai atlet hebat dunia yang akan mengambil bahagian pada sukan kedua terbesar dunia itu.

Beliau berkata peluang untuk meraih pingat emas adalah sukar kerana China mempunyai ramai atlet terjun yang berkebolehan dan berpengalaman.

“Namun saya akan cuba melakukan persembahan yang terbaik apabila beraksi nanti,” katanya.

Sembilan lagi atlet yang akan mengalas cabaran di Shenzhen ialah Bryan, Pandelela, Ahmad Amsyar Azman, Muhammad Fakhrul Izzat Mohd Zain, Cheong Jun Hong dan Ng Yan Yee. — Bernama