KOTA BAHARU: UMNO Selangor yakin tindakan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika memeriksa sebuah gereja di negeri itu sehingga menimbulkan kontroversi baru-baru ini mengikut peruntukan undang-undang.
Jika tidak, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, gereja itu boleh mengambil tindakan mengheret JAIS ke mahkamah.
“Saya yakin JAIS telah bertindak mengikut lunas undang-undang dan jabatan itu mesti tahu implikasi undang-undang bila berbuat demikian,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2010 kepada Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, di sini semalam.
Pada 3 Ogos lepas, JAIS membuat pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, selepas menerima laporan mengenai kehadiran orang Islam pada majlis makan malam yang diadakan di situ.
Tindakan JAIS itu mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali sehingga menimbulkan konflik kepada kerajaan Selangor yang diteraju Parti Keadilan Rakyat.
Mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menya-lahkan Barisan Nasional (BN) kononnya sengaja membangkitkan kontroversi mengenai perkara itu, Noh berkata, PAS sengaja menutup kelemahan mereka dengan melemparkan tuduhan kepada UMNO dan BN.
“Setiap apa yang berla-ku membabitkan PAS dan pembangkang, parti itu akan melemparkan tuduhan pula kepada UMNO seolah-olah kita tidak ada kerja lain nak dibuat.
“Saya ingin menasihatkan PAS agar jangan sesekali mempolitikkan isu agama kerana isu agama sangat sensitif,” katanya. — Bernama