SESB rugi besar akibat kecurian pepasangan

0

KOTA KINABALU: Pepasangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terutamanya di kawasan pencawang elektrik sekali lagi menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab dengan mencuri komponen dan material tanpa mempedulikan impak terhadap bekalan elektrik yang disalurkan kepada penduduk setempat.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Korporat) SESB, Wan Maria Othman Lee berkata kali ini kawasan Tuaran menjadi sasaran kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan selepas kawasan Kota Kinabalu dan Tawau.

Menurutnya, dalam kejadian pada 6 Ogos lepas, beberapa individu tidak dikenali telah mencuri hampir keseluruhan komponen pepasangan di Pencawang Elektrik SESB Pantai Dalit, Tuaran dan akibat tindakan terbabit telah mengakibatkan bekalan elektrik kepada lebih 1,200 pengguna telah terputus.

“Kita menganggarkan kerugian sebanyak RM110,000 akibat kerosakan pada pepasangan berkenaan. Antara kawasan yang terlibat adalah sekitar kawasan Kampung Raganan, Jalan Mengkabong, Laya-Laya, Rasa Ria Resort dan Kampung Terayung.

“Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan telahpun dijalankan dengan serta merta dipulihkan secara berperingkat bermula pada jam 3 petang pada hari yang sama,” katanya.

Tambahnya, sejak bulan Januari 2011, SESB telah merekodkan tiga kes cubaan mencuri/kecurian pepasangan elektrik di seluruh Sabah dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM550,000.

“Kejadian pertama cubaan in berlaku pada 19 Julai lalu di mana penduduk di kawasan Tuaran dan Sepanggar terpaksa bergelap hampir sejam setelah beberapa individu yang tidak dikenali membakar kabel bawah tanah 66kv milik SESB di Kampung Melawa, Sepanggar,” katanya.

Wan Maria turut menegaskan insiden terbabit membawa impak kepada kejadian yang berlaku pada 21 April 2008 di mana bekalan seluruh Sabah hampir lumpuh apabila dua menara SESB di Sepanggar tumbang selepas besi-besi penyokong pada menara berkenaan telah dicuri oleh individu-invidu yang tidak bertanggungjawab.

“Kesalahan mencuri mengikut Seksyen 379 dan 380, Kanun Keseksaan iaitu seseorang yang didapati mencuri boleh dipenjara tujuh tahun (Seksyen 379) dan 10 tahun (Seksyen 380) atau denda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua atau kemudiannya boleh dikenakan penjara serta dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terbabit bukan sahaja boleh merosakkan pepasangan SESB tetapi memberi impak kepada bekalan elektrik yang disalurkan kepada penduduk sekitar. Jumlah System Average Interuption Duration Index (SAIDI) setakat 8 Ogos lepas adalah 345.95 minit bagi setiap pengguna.

“Lantaran itu, kita memohon kerjasama semua pihak supaya menghubungi SESB di talian 088-288 455 jika melihat individu mencurigakan berada dalam kawasan pepasangan SESB,” katanya.